Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan menafikan bahawa ia bertindak tergesa-gesa dalam kes rayuan kerajaan terhadap keputusan pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu, turut menyusun carta mengenai pelbagai penangguhan dan permohonan yang dibuat oleh peguam Anwar sejak Julai 2013.

Kes itu sendiri membabitkan lebih sepuluh proses pengurusan kes.

Berdasarkan fakta di atas, kata panel itu, ia adalah keterlaluan untuk

mengatakan bahawa kes rayuan itu telah dilupuskan dalam tergesa-gesa.

Dalam penghakiman bertulisnya, panel itu juga menegaskan bahawa kebanyakan permohonan untuk menangguhnya adalah atas kehendak responden (Anwar) yang memfailkan permohonan demi permohonan.

Menurut panel itu, demi kepentingan awam, rayuan jenayah diuruskan oleh mahkamah secepat mungkin.

Amalan melengah-lengahkannya, kata panel itu, akan mencemarkan pentadbiran keadilan.

Mahkamah Rayuan juga menegur peguam Anwar -  mendiang Karpal Singh - bahawa tidak wajar bagi seorang peguam untuk secara rutin gagal untuk mempercepatkan pendengaran rayuan semata-mata untuk keselesaan anak guam.

Peguam tidak harus dengan sengaja menggunakan urusan prosedur untuk melambatkan prosiding tanpa asas undang-undang, kata panel yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi.

Peguam tidak harus dengan sengaja menggunakan urusan prosedur untuk melambatkan prosiding tanpa asas undang-undang, kata panel yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi.

Rayuan pihak pendakwa itu didengar pada 6 dan 7 Mac, sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kandang tertuduh dalam pembelaan beliau bagi pertuduhan liwat hanya penafian semata-mata.

    

Mahkamah itu juga memutuskan penafian Anwar itu tidak menimbulkan sebarang keraguan dan menjadikan pembelaannya berwibawa yang boleh menjejaskan keterangan pihak pendakwa terhadap tertuduh.

    

"Ia juga adalah penting bagi responden (Anwar) menjelaskan kes beliau," kata panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis setebal 85 muka surat yang dikeluarkan hari ini.

    

Dua lagi hakim ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

    

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

    

Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mendapati Anwar bersalah bagi pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun.

    

Dalam penghakimannya, panel itu berkata bagi membolehkan Anwar berjaya dalam pembelaannya, adalah wajib baginya mengemukakan bukti untuk menyangkal pertuduhan yang dihadapinya.

    

Bagaimanapun, dalam kes ini, Anwar tidak menafikan beliau berada di tempat kejadian jenayah pada masa dan tarikh seperti dalam pertuduhan.

    

"Beliau tidak mempertikaikan keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium pada masa itu. Beliau juga tidak mempertikaikan dia telah dilihat ketika memasuki lif ke tingkat lima kondominium dan kemudian meninggalkan tempat itu," kata ketiga-tiga hakim berkenaan.

    

Mereka juga berpendapat bahawa hakim perbicaraan dalam kes rayuan itu mungkin juga tertanya-tanya kenapa responden (Anwar) memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah.  

    

Panel itu berkata ini tidak mungkin disebabkan beliau (Anwar) membantah untuk memberi keterangan bersumpah kerana jika benar, beliau boleh memilih untuk berdiam diri.

    

"Adakah mungkin responden keberatan keterangannya disoal dalam pemeriksaan balas? Jika ya, kenapa? Beliau tidak perlu takut untuk disoal kerana beliau akan dipertahankan oleh peguamnya dan oleh mahkamah," kata panel.

    

Berhubung keterangan dua pakar saksi pembelaan (Dr David Wells dan Dr Brian McDonald) yang dipanggil untuk mematahkan keterangan pakar saksi pendakwa, mahkamah berkata mereka hanyalah 'armchair expert' (pakar yang hanya pandai berteori) dan keterangan mereka hanya semata-mata pandangan, manakala keterangan ahli kimia tempatan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah berdasarkan fakta dan analisis terhadap sampel yang mereka jalankan.  

    

Panel itu juga bersetuju dengan hujahan pihak pendakwa bahawa keterangan Dr McDonald sebahagian besar berbentuk spekulasi, teori, dan andaian, sehubungan itu keterangannya tidak kukuh.

    

Ketiga-tiga hakim juga berkata Dr McDonald turut membayangkan Jabatan Kimia Malaysia tidak mempunyai akreditasi kerana telah tamat tempoh pada 2005,

bagaimanapun, berdasarkan keterangan Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon jabatan itu mempunyai akreditasi.

    

Berhubung isu alibi, hakim memutuskan kegagalan Anwar untuk memanggil mana-mana saksi bagi menyokong pembelaannya telah menimbulkan keraguan bona fide ke atas pembelaannya.

    

Mereka berkata antara saksi yang dinamakan di dalam notis alibi ialah isteri responden dan ketua kakitangannya.

    

"Saksi-saksi ini sepatutnya ada dan menyebelahi responden jika alibinya adalah tulen," kata panel itu.

    

Mereka juga mendapati Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan yang serius apabila beliau meragui integriti sampel DNA berdasarkan keterangan yang diberi dua pakar saksi pembelaan.

    

Panel itu juga memutuskan keputusan hakim perbicaraan adalah cacat dan memerlukan campurtangan Mahkamah Rayuan.

ADS