Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Besar sungguh hutang budi dinasti Lim pada Karpal'
Diterbitkan:  Apr 20, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Satu tulisan pojok dalam akhbar Mingguan Malaysia mendakwa mendiang Karpal Singh bertanggungjawab menyumbang kepada pembentukan dinasti politik penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng.

Tulisan editor dalam ruang Bisik-bisik Awang Selamat berkenaan mendakwa ia antara lainnya boleh dilihat melalui kesetiaan Karpal yang tetap bersama DAP walau ramai tokoh parti berkenaan meninggalkan parti tersebut.

"Pada Awang, pemergian mendiang memang suatu kehilangan besar kepada DAP terutama penasihat parti itu, Lim Kit Siang. Kejayaan Kit Siang membina dinasti politik antara lain disumbangkan oleh peranan Karpal.

“Ketika ada sahaja tokoh DAP meninggalkan Kit Siang dari semasa ke semasa terutama era 1980-an dan 1990-an kerana tidak berpuas hati cara kepimpinan beliau, mendiang tetap setia," tulisan itu dipetik.

Tulisan itu juga mendakwa Kit Siang berselindung di sebalik kelantangan Karpal dalam isu kontrvoersi seperti penentangan ke atas penubuhan negara Islam.

"Dalam isu tertentu, Kit Siang dilihat berselindung di sebalik suara lantang mendiang memperjuangkan agenda DAP.

“Ini termasuk kenyataan yang mencetuskan kontroversi iaitu langkah mayatnya terlebih dahulu sebelum menubuhkan negara Islam.

“Pengaruh Karpal jugalah secara tidak langsung membantu Kit Siang dalam percaturan melonjakkan anaknya, Lim Guan Eng hingga ke persada kuasa dalam DAP sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Menteri Pulau Pinang,” tulisnya.

Oleh yang demikian, seperti dirumuskan tulisan tersebut, keluarga Lim itu mungkin tidak akan mendapat pemimpin bukan Cina yang setia seperti Karpal lagi.

"Agak mustahil bagi Kit Siang mahupun Guan Eng mendapat pemimpin bukan Cina yang setia dan komited ke hujung nyawa seperti mendiang, selepas ini. Besar sungguh hutang budi dinasti Lim kepada Karpal," kata beliau.

Tulisan itu juga menyatakan penghargaam kepada mendiang Karpal yang disifatkan sebagai peguam yang berwibawa, malah lebih baik daripada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Adakalanya beliau (Karpal) melawan arus. Karpal, misalnya tidak percaya kepada tindakan memboikot media kerana ia bukan mencerminkan keterbukaan dan kebebasan.

“Juga, masih segar dalam ingatan bagaimana Karpal menasihatkan Anwar supaya bertaubat apabila Ketua Pembangkang itu mahu menggulingkan kerajaan secara budaya lompat parti iaitu di luar proses demokrasi selepas Pilihan Raya Umum 2008.

“Malah beliau menyelar Anwar tidak layak memimpin Pakatan Rakyat dengan perbuatannya itu," kata beliau,” tulisan itu dipetik.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor maut dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi 17 April lalu.

 

Pembantu peribadi beliau,  Michael Cornelius, 39, turut maut dalam kemalangan itu yang membabitkan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka dengan sebuah lori dalam perjalanan menuju utara berhampiran Gua Tempurung.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan upacara penghormatan terakhir peringkat negeri bagi pengebumian Karpal hari ini.

ADS