Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes senjata api: TUDM akui pegawainya ditahan
Diterbitkan:  Apr 20, 2014 2:16 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar, ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Mathis Field, di Texas, selepas dipercayai cuba menyeludup senjata api ke dalam penerbangan.

Laporan sebuah portal berita tempatan Texas, Bigcountryhomepage.com melaporkan pegawai berpangkat Mejar itu ditahan di dalam pesawat sebelum berlepas ke Dallas pada 16 April lalu.

Pegawai berkenaan, Mejar Mohd Faiz Abdul Jalil dilaporkan dalam perjalanan untuk menaiki satu lagi penerbangan pulang ke Kuala Lumpur melalui Dallas.

Pegawai berkenaan dilaporkan akan dipindahkan oleh pihak berkuasa ke Lubbock, Texas.

Laporan berkenaan tidak menyatakan dengan jelas mana-mana peruntukan undang-undang, namun menyebut pegawai Malaysia itu yang berdepan dengan hukuman 10 tahun penjara.

Ia seterusnya menyatakan dengan terperinci bahagian peralatan senjata api serta pembungkusan barangan yang didakwa dikaitkan dengan pegawai tersebut.

Menurut laporan berkenaan, Agen Pentadbiran Keselamatan dan Pengangkutan Lapangan Terbang (TSA) dan kastam pada awalnya mengesan objek mencurigakan dalam bagasi pegawai terbabit.

Pihak berkuasa berkenan kemudiannya dilaporkan menemui bahagian peralatan pistol jenis Taurus PT-22 dan satu kelopak mengandungi lapan butir peluru 22mm.

Menurut laporan itu, ejen TSA menemui tempat menyimpan air batu yang mengandungi satu alat senaman angkat berat plastik. Alat senaman tersebut didapati mengandungi satu bahagian pistol Taurus PT-22.

Pihak berkuasa juga menemui laras pistol tersebut dilekatkan di antara satu pembuka tin dan satu pembuka penutup botol.

"Bahagian lain pistol tersebut, keluli pelungsurnya, ditemui dalam jam keluli yang dimuatkan dalam kotak besi dalam beg pakaian,” laporan itu dipetik.

Mohd Faiz dilaporkan memberitahu pihak berkuasa AS bahawa beliau menyembunyikan senjata api tersebut supaya tidak ditemui oleh pihak berkuasa Malaysia apabila tiba di Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu lagi, pegawai berkenaan memberitahu ejen Keselamatan Dalam Negeri bahawa beliau membeli senjata api tersebut semasa satu pameran di Sweetwater, Texas.

"Beliau memberitahu pihak berkuasa bahawa dua lagi pembekal enggan menjual senjata tersebut memandangkan beliau bukan warga AS, tetapi pembekal ketiga bersetuju menjual senjata tersebut kepadanya dengan harga USD200, dan Mohd Faiz berkata vendor tersebut tidak memintanya untuk mengisi apa-apa borang,” laporan itu dipetik.

Beliau masuk ke negara itu dengan visa diplomatik untuk latihan ketenteraan di Goodfellow Air Force Base di San Angelo sejak 5 Januari dan menginap di satu asrama di pengkalan tentera itu.

Sementara itu satu laporan Bernama yang memetik kenyataan TUDM menyebut, pasukan itu mengesahkan bahawa seorang pegawainya ditahan pihak berkuasa AS di lapangan terbang berkenaan.

"Beliau kini ditahan oleh polis Texas dan dijangka akan didakwa di mahkamah pada 21 April," laporan itu dipetik.

ADS