Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengetuai kira-kira 3,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dalam larian tiga kilometer di Kuala Lumpur bagi menunjukkan komitmen untuk menjadikan negara bebas rasuah.

Larian yang bermula dan berakhir di Padang Merbok itu dinamakan Larian 'Hapuskan Rasuah, Jangan Beri Jangan Terima', anjuran Parti Gerakan.

Najib yang diiringi Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Ketua Wanita Gerakan yang juga pengerusi penganjur larian, Datuk Tan Lian Hoe, mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menamatkan larian itu.

Sebelum itu, Najib yang tiba pukul 7.45 pagi, turut menyertai senamrobik selama 10 minit bersama peserta mengikut rentak lagu tiga kaum utama di negara ini dan lagu 1Malaysia.

Mah dan Tan kemudian menyerahkan obor kepada Najib sebagai simbolik pelancaran larian itu.

Obor itu kemudian diserahkan kepada wakil Gerakan Johor Datuk Teo Kok Chee untuk meneruskan larian pada 24 Mei di Skudai, Johor.

Najib turut melepaskan satu das tembakan sebagai permulaan larian itu.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf dan pemimpin kanan parti Gerakan.

Sementara itu, Tan berkata acara larian khas ini bertujuan mengajak rakyat pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum, agama, jantina dan peringkat umur untuk sama-sama menyokong acara yang cukup murni ini.

"Tujuan utama ialah untuk menghapuskan rasuah. Rasuah bukanlah budaya kita serta tidak memberi apa-apa rezeki sebaliknya ia hanya melumpuhkan kestabilan ekonomi negara. Keupayaan menangani rasuah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Rasuah akan tetap berlaku selagi adanya 'pemberi' dan 'penerima'. Justeru, Larian Hapuskan Rasuah merupakan tanggungjawab individu dalam melahirkan ikrar integriti masing-masing ke arah mewujudkan negara yang bebas rasuah," katanya kepada pemberita selepas acara larian itu.

    

Tambah Tan, larian ini akan dijadikan acara tahunan bagi memupuk kesedaran kepada semua pihak supaya jangan memberi dan jangan mengambil rasuah, serta menolak perbuatan keji itu.

"Larian ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada (usaha menghapuskan) amalan rasuah, tetapi juga menyihatkan badan dan minda. Jika minda sihat, maka rakyat akan faham amalan keji rasuah pemusnah bangsa dan keharmonian negara," katanya.

Bagi pelajar kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia, cawangan Kuala Lumpur, T.Viknesvaran, 20, menyertai larian sebegini adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada semua, memandangkan ia sebagai satu kempen terbaik untuk menyedarkan orang ramai ke arah sikap yang lebih positif.

"Acara ini perlu diteruskan agar meningkatkan kesedaran antirasuah di kalangan pelajar sekolah supaya gejala negatif itu boleh dibanteras," katanya.

Menyokong kenyataan itu, rakan Viknesvaran, P.Sangharganesh, yang juga pelajar kursus sama, juga berasa bangga menyertai larian ini bersama Perdana Menteri dan kagum dengan kesungguhan Perdana Menteri untuk menghabiskan larian tiga kilometer itu.

Seorang suri rumah Chang Loe Hung, 50, dari Dungun, Terengganu pula berasa gembira menyertai dan merasakan sendiri larian ini bersama kawan-kawannya menaiki bas dari Terengganu dan bertolak ke Kuala Lumpur, semalam.

"Sebagai rakyat, kita perlu solong pelbagai usaha untuk menjadikan negara kita ke arah lebih baik pada masa depan," katanya, yang sering datang ke Kuala Lumpur bagi menyertai acara amal, antaranya 'Purple Walk' pada Mac lalu.

Seorang penjawat awam Zunnie Aida Ismail, 35, pula tidak menolak peluang bersama pemimpin negara untuk sama-sama menyokong usaha penganjur larian ini yang turut dimeriahkan dengan penyertaan artis-artis tempatan seperti Roslan Shah, Anie Mayuni dan Watie Elite, dengan menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan dalam kempen pembanterasan rasuah.

Acara larian ini diadakan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai media rasmi acara larian itu.

- Bernama

ADS