Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu masih belum menerima maklum balas dari penganjur perhimpunan yang merancang untuk berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka pada 1 Mei.

Katanya, dalam rundingan pada 16 April lalu, polis telahpun memberitahu penganjur bahawa Dataran Merdeka yang dirancang sebagai destinasi perarakan tersebut kini masih dalam pembaikan.

"Kita (pihak polis) masih menunggu cadangan balas dari mereka. Kita telah mengadakan mesyuarat pertama dengan pihak penganjur, kita berharap mereka akan memberikan kerjasama dalam perkara ini.

"Kerana mereka bercadang mahu berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka yang masih dalam pembaikan," katanya dalam sidang media di Putrajaya pagi tadi.

Rundingan pada 16 April lalu melibatkan jurucakap jawatankuasa penganjur perhimpunan, S Arutchelvan bersama beberapa pemimpin menyertai rundingan dengan pegawainya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Rundingan itu dijalankan dengan Ketua Ketenteraman Trafik Kuala Lumpur SAC Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.

Rundingan lanjut akan berlangsung hari ini.

Antara NGO yang memberi sokongan terhadap himpunan ini ialah HIMPUN, SAMM, TURUN, JERIT dan organisasi mewakili orang Asli dan pertubuhan wanita.

Himpunan besar-besaran pada hari pekerja itu diadakan bagi membantah hasrat kerajaan melaksanakan GST sebanyak enam peratus berkuatkuasa 1 April 2015.

Akta tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa pindaan awal bulan ini.

ADS