Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan orang Islam mesti menghormati mayat bukan Islam bagi menjaga hubungan sesama manusia.

"Saya tak tengok apa yang dia kata macam mana, tapi sebagai manusia kita mesti menghormati sama ada orang hidup ataupun mati.

"Eloklah hal yang berkaitan kematian, kita hormati sesama manusia apatah lagi menjaga hubungan sesama kita," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di Cheras ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi MP Langkawi Datuk Nawawi Ahmad dan bekas naib presiden PERKASA Datuk Zulkifli Noordin yang dikatakan menghina mendiang Karpal Singh.

Jamil bagaimanapun enggan mengulas secara spesifik kes itu dengan alasan "tidak tengok apa yang dia kata".

Bagaimanapun Nawawi memohon maaf dan kesal dengan tindakannya, manakala Zulkifli menukar nadanya dengan memuji Karpal.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil memandangkan tulisan mereka sudah merebak luas, Jamil berkata:

"Saya tak tengok macam mana (tulisan itu)... Bukan tanggungjawab saya."

Diam tapi senyum

Diasak bahawa tulisan Nawawi itu telah diletakkan dalam laman Facebook-nya, Jamil hanya berkata:

"Oh, begitu...," katanya yang kemudian beliau diam, senyum dan tidak meneruskan ulasan.

Mengulas mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang "tidak menggalakkan umat Islam mengucapkan 'Rest In Peace' kepada mayat bukan Islam, Jamil berkata:

"Kita berpegang pada pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan."

Diasak supaya mengulas pandangan bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dilapor meminta majlis tersebut menilai dan menjelas secara terperinci mengenai perkara itu, Jamil tidak menjawab:

"Eloklah tu, Majlis Fatwa (Kebangsaan) dah tetapkan dah."

Jamil juga enggan mengulas sama ada Umno akan menyokong rang undang-undang persendirian mengenai hudud oleh kerajaan Kelantan dan berkaitan bantahan empat parti komponen BN mengenai tindakan kerajaan negeri itu.

"Saya sudah sebut perkara ini di parlimen. Cuba rujuk hansard parlimen saya," katanya.

ADS