Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR menyatakan kekesalan berikutan ketiadaan rancangan presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Malaysia hujung minggu ini.

Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, beliau telah bertemu pengarah Jabatan ASEAN dari Jabatan Negara AS minggu lalu di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau memberi “kenyataan keras” bahawa imej AS akan terjejas sekiranya “tidak mempertahankan keadilan” dan hanya berminat memastikan kejayaan Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik (TPP) dalam lawatannya

"Saya tidak meminta (untuk Obama bertemu Anwar) tetapi saya menjelaskan dengan keras imej AS di mata rakyat Malaysia akan jatuh sekiranya AS terlalu licik menekan perjanjian TPPA mengatasi prinsip demokrasi.

"Dengan ini, dengan jelas lebih ramai rakyat Malaysia melihat pentadbiran Obama melebihkan TPPA berbanding prinsip demokrasi di Malaysia," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini.

Rafizi bagaimanapun berkata, berkata parti itu tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk pertemuan itu.

Pentadbiran Obama sebelum ini mengumumkan pihaknya tidak merancang untuk bertemu dengan Anwar apabila berkunjung ke Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Obama menjadi presiden AS pertama melawat Malaysia dalam tempoh hampir setengah abad. Beliau akan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saifuddin: Ingat sokongan 52%

Sementara itu, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, AS sepatutnya mengambil perhatian terhadap isu ketidakadilan di rantau Asia Tenggara sesuai dengan status mereka sebagai “penegak amalan demokrasi dan keadilan sejagat”.

Menurut beliau Anwar yang kini berdepan dengan rayuan mahkamah terhadap satu kes liwat yang dianggapnya tidak adil dan berat sebelah.

"Kerajaan Najib dapat sokongan 47 peratus sebuah pihak lagi Pakatan Rakyat dapat 52 peratus undi popular.

Ini sepatutnya wajar diberi perhatian oleh pentadbiran Obama bahawa sokongan terbesar rakyat Malaysia adalah kepada Anwar," kata beliau.

ADS