Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis Kuala Lumpur akan bertindak jika himpunan pada 1 Mei ini mengancam ketenteraman awam, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa.

"Setakat ini tindakan kita untuk mengawal keamanan sahaja, tetapi kalau ada ancaman terhadap keamanan awam, kita akan bertindak," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Kuala Lumpur, pagi ini.

Beliau berkata demikian, sewaktu ditanya jika polis bercadang untuk membuat sebarang tangkapan awal sebagai langkah mencegah himpunan itu daripada terus berlangsung seperti dirancang.

Ditanya jika polis mengesan individu yang akan menjadi personaliti utama himpunan itu, Khairi menjawab pihaknya kini hanya mengenal pasti beberapa NGO yang bertindak sebagai penganjur.

Gesa penganjur beri notis

Khairi turut menggesa penganjur agar memberikan notis kepada polis walaupun rundingan dengan pihak berkuasa telah dibuat.

"Kita masih belum dapat apa-apa notis daripada pihak yang anjurkan himpunan 1 Mei tetapi polis akan bersiap sedia untuk mengawal himpunan tersebut supaya keadaan aman Kuala Lumpur ini terkawal dan terpelihara.

"Walaupun mereka sudah berjumpa dengan ketua polis Dang Wangi, mereka masih perlu kemukakan notis selama 10 hari dari tarikh himpunan akan diadakan.

"Kita harap mereka kemukakan notis supaya kita sama-sama dapat saling membantu," katanya.

Pada 16 April lalu, jurucakap jawatankuasa penganjur perhimpunan, S Arutchelvan ( kiri, berbaju merah ) menyertai rundingan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.

Rundingan itu turut dijalankan dengan Ketua Ketenteraman Trafik Kuala Lumpur SAC Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Bagaimanapun, lima hari kemudian, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya masih menunggu jawapan penganjur himpunan berikutan destinasi akhir himpunan dari KLCC ke Dataran Merdeka itu, masih dalam proses pembaikan.

ADS