Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua pengarang akui Utusan sokong Umno
Diterbitkan:  Apr 24, 2014 12:31 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd Datuk Aziz Ishak mengakui bahawa akhbar terbitannya, Utusan Malaysia menyokong parti Umno dan kerajaan BN.

Sokongan seperti itu, yang diistilahkannya sebagai usaha “membawa aspirasi kerajaan dan Umno”, adalah perkara biasa dan turut diamalkan oleh akhbar luar negara, katanya seperti dilaporkan Utusan.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ke atas pemimpin PERKASA Negeri Sembilan, Ruslan Kassim dan enam yang lain.

Ia berhubung satu dakwaan memfitnah Lim dengan mengaitkannya sebagai “perisik negara” seperti disiarkan dalalam laporan Utusan dan akhbar New Straits Times pada 2 Oktober 2011.

Kata Aziz, ada akhbar di United Kingdom yang menyokong Parti Buruh dan Parti Konservatif, manakala di Amerika Syarikat pula ada juga akhbar yang memihak kepada Parti Demokrat dan Republikan.

Beliau turut mengumpamakan akhbar milik Umno itu seperti organ parti Pakatan Raky at – Harakah , Suara Keadilan dan Roketkini .

Selain itu beliau turut mengaitkan portal Malaysiakini , yang didakwanya sebagai “bukan sahaja menyokong malahan menjadi suara kepada parti pembangkang terutamanya DAP”.

Menurut Utusan, Aziz bagaimanapun berkata Utusan tetap mengkritik kelemahan pentadbiran kerajaan walaupun menjadi penyokong Umno dan BN.

"Walaupun Utusan Malaysia lebih membawa aspirasi kerajaan dan Umno tetapi tidak bermakna menyokongnya secara membuta tuli malahan akhbar tersebut dalam banyak laporan dan rencananya mengkritik, mendedahkan kepincangan serta kelemahan kerajaan BN meliputi isu-isu kepentingan umum dan hal ini boleh dibuat kajian oleh sesiapa pun,” kata Aziz seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Dalam keterangannya, Aziz turut menyifatkan Ruslan sebagai satu sumber yang boleh dipercayai, manakala kenyataan yang disiarkan itu pula berkepentingan umum dan tiada niat jahat.

Lim pada 28 Jun 2012 memfailkan saman ke atas Ruslan dan dua akhbar tersebut atas tuduhan palsu yang mengaitkan beliau dengan tuduhan mendedahkan rahsia negara kepada pemerintah Singapura.

ADS