Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Gerakan mengancam mengambil tindakan undang-undang jika PAS meneruskan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan melalui rang undang-undang persendirian di Parlimen.

Perkara itu dinyatakan dalam notis tindakan undang-undang yang diserahkan ketua Pemudanya Tan Keng Liang kepada pejabat agung PAS di ibu negara hari ini.

"Dengan ini kami memberi notis kepada PAS kami akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah untuk menegakkan perlembagaan persekutuan negara kita sekiranya PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan," notis itu dipetik.

Rombongan Gerakan bersama 12 pemimpin pergerakan itu disambut mesra Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Yusafiza Yaakob.

PAS malah membenarkan Pemuda Gerakan menggunakan ruang sidang media parti itu bagi menyatakan pandangan mereka berhubung undang-undang Islam itu.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Tan berkata pihaknya telah membentuk sebuah jawatankuasa bagi mengkaji tindakan undang-undang itu.

Tan memaklumkan jawatankuasa itu terdiri daripada beberapa peguam yang dipengerusikannya.

Ke Mahkamah Persekutuan

Tiga lagi peguam yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Ketua Biro Undang-Undang Gerakan Kebangsaan Baljit Singh, Ketua Biro Undang-Undang Pemuda Gerakan Chai Ko Thing dan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yeong.

"Semua kemungkinan akan dikaji. Setelah menerima nasihat daripada jawatankuasa tersebut kami akan bertindak," katanya.

Sementara itu, Chai pula berkata, kes itu akan dibawa terus ke Mahkamah Persekutuan sekiranya PAS masih berpegang kepada keputusan mereka.

"Perkara macam ini melibatkan isu perlembagaan, jadi isu itu akan terus dibawa ke mahkamah persekutuan.

"Tidak perlu melalui mahkamah rayuan dalam isu perlembagaan. Dan perkara ini melibatkan isu awam," katanya.

Kelantan pada 9 April lalu mengumumkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di negeri itu.

Pengerusi Jawantakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan dan pandangan pakar perundangan.

ADS