Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK buat laporan gesa SPRM siasat Daim
Diterbitkan:  Apr 24, 2014 9:26 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Bekas menteri kewangan didakwa memiliki satu rangkaian bank dan baru-baru ini mengakui beliau juga memiliki sebuah bank di Tanzania, dan ini mendorong Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa supaya satu siasatan dijalankan terhadap Tun Daim Zainuddin.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga percaya bahawa apa yang telah didedahkan tentang kewangan Daim hanyalah sebahagian kecil sahaja.

Shamsul dan pemimpin Pakatan Rakyat Melaka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengenai isu bank Tanzania.

Dalam satu kenyataan, Shamsul berkata tentunya pengakuan terkini itu boleh dijadikan asas untuk mengheret Daim ke proses penyiasatan dan pendakwaan.

Katanya lagi, maklumat di internet membuktikan pegangan Daim melalui ICB Banking Group, termasuk cawangan di Hungary, Albania, Ghana, Guinea, Tanzania, Mozambique, Sierra Leone dan juga Bank Internasional Indonesia dan Bank Bumiputera Indonesia.

Untuk rekod, tambahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi menteri kewangan sebelum pemecatannya daripada Kabinet pada 1988, pernah menolak permohonan Daim untuk mengambil alih Bank Hock Hua, memandangkan bekas bendahari Umno itu pernah menjadi menteri kewangan dan mempunyai hubungan rapat sebagai penasihat ekonomi kerajaan.

Shamsul seterusnya mendakwa bahawa bukti-bukti berkaitan mengenai kemungkinan berlakunya amalan rasuah pernah dilampirkan oleh Anwar dalam laporan polis yang dibuat pada 30 Julai 1999 berhubung tokoh korporat Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajudin Ramli, yang didakwa memegang saham bagi pihak Daim.

AMK percaya bahawa pendedahan Anwar itu hanyalah sebahagian kecil sahaja, tambah Shamsul.

"Saya melalui AMK akan terus menggesa SPRM untuk segera menjalankan siasatan dan mengheret beliau ke muka pengadilan sekiranya ia berhubungkait dengan manipulasi dana kerajaan khususnya sewaktu beliau menganggotai kabinet," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS