Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas 30 tahun menerajui tampuk tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah dicabar buat pertama kali oleh anak beliau sendiri Tengku Abdullah dan seorang lagi kerabat diraja dari Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim.

Tiga dekad merupakan masa yang lama bagi seorang presiden FAM mencatur nasib bola sepak tempatan.

Memasuki 2014, kita terus melihat kegagalan pasukan kebangsaan mencapai potensinya, apatah lagi memenuhi impian beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Sebanyak 25 negara telah pun berjaya ke pusingan akhir perlawanan berprestij itu sejak diperkenal pada 1986 – dua tahun sesudah Sultan Ahmad mengambil alih FAM pada 1984 dan enam tahun selepas Malaysia mengukir nama dalam kelayakan Olimpik peringkat Asia.

Pencapaian bola sepak negara pernah memberi harapan apabila Malaysia berjaya menempah satu daripada tiga tiket untuk Asia ke Sukan Olimpik Moscow 1980 bawah bimbingan Karl Heinz Weigang.

Wira negara seperti James Wong, Khalid Ali, Hassan Sani, R Arumugam dan Abdullah Ali dalam perjuangan itu menewaskan Korea Selatan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun; mengalahkan Brunei 3-1, menumbangkan Indonesia 6-1, sebelum membenam Filipina 8-0 di peringkat kumpulan.

Mana silapnya apabila Korea Selatan dan Jepun yang dahulunya sering ditewaskan negara kini berjaya mendapat tempat di kalangan negara elit.

Dua gergasi bola sepak Asia itu juga acap kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia ketika Malasia, sejak era 80-masih terkial-kial untuk memasuki pusingan akhir Piala Asia.

Negara lain seperti Kanada, Denmark, Iraq, Costa Rica, Ireland, UAE, Greece, Nigeria, Arab Saudi, Croatia, Jamaica, Japan, Afrika Selatan, China, Ecuador, Senegal, Slovenia, Angola, Ivory Coast, Czech Republic, Ghana, Togo, Trinidad and Tobago, Ukraine sudah berjaya menempatkan diri masing-masing.

Malah Serbia dan Montenegro serta Bosnia - dua negara yang masih terkesan dengan peperangan pada awal 90-an – telah pun menikmati kejayaan usaha mereka. Malaysia pula kini masih di tempat ke 142 (setakat April 2014) dalam ranking FIFA.

Nostalgia Pestabola Malaysia

Oleh itu, tidak hairanlah pelbagai kritikan dilemparkan dari terhadap teraju FAM.

Rakyat Malaysia yang resah menjalankan pelbagai kempen, termasuk mendesak pengunduran Sultan Ahmad Shah, antaranya melalui kempen #presidenFAMsilaletakjawatan laman sosial.

Malah pengkritik bertaraf akademik seperti Prof Khoo Kay Peng juga berkata, FAM dianggap ' berdosa ' kepada rakyat.

Perkara itu bagaimanapun masih tidak mematahkan semangat Sultan Ahmad yang masih mahu mempertahankan jawatan itu atas alasan ada “kerja yang belum selesai”.

Jadi, adakah perlu untuk memberi peluang kepada individu lain memikul tanggungjawab itu dan membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi atau sekurang-kurangnya seperti kegemilangan terdahulu?

Sejak penubuhan FAM (dahulunya Persatuan Bola Sepak Malaya), kesemua penerajunya daripada golongan bangsawan. Ini termasuk Tunku Abdul Rahman (1951 - 1974), Tun Abdul Razak (1974 - 1976), Tan Sri Raja Hamzah Abu Samah (1976 - 1984) dan Sultan Haji Ahmad Shah (1984 – kini).

Namun adakah semuanya tidak berguna?

Kita melihat kegemilangan Pestabola Malaysia ketika zaman Tunku Abdul Rahman (kerabat Kedah), Tun Abdul Razak (Pahang) dan 'revival' bolasepak ketika era Raja Hamzah (keturunan Orang Besar Pahang) dan pemodenan bola sepak di zaman Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, dalam persaingan kerusi nombor satu dalam FAM itu, jika diukur sokongan peminat, semestinya Tengku Abdullah dan Tengku Ismail berhadapan dengan saingan sengit untuk menang.

Kita melihat betapa beliau kini ditentang calon terkuat setakat ini, iaitu Tengku Abdullah.

Watak pendamai Tengku Abdullah

Tengku Abdullah, contohnya, tanpa bantuan dan liputan sebesar yang diterima sukan bola sepak, membawa pasukan hoki kita sehingga layak sekali lagi ke Piala Dunia tahun lalu.

Dan sehingga kini Malaysia masih lagi menjadi antara kuasa dunia di dalam arena hoki.

Tengku Abdullah juga mempunyai reputasi baik apabila dikenali ramai sebagai 'pendamai' dalam setiap pergeseran.

Ini seperti insiden “Malam Hitam” Stadium Kuching pada 1989 yang mana polis dan FRU dilapor memukul pemain Sarawak selepas mereka bersengketa dengan pengadil perlawanan.

Tengku Abdullah, ketika itu naib presiden FAM, dilaporkan menaiki pesawat tentera untuk terus ke Kuching bagi mententeramkan persatuan bola sepak Sarawak yang mahu menarik diri dari FAM berikutan insiden itu.

Tengku Ismail pula, pendatang baru, dalam hanya beberapa tahun sahaja pula berjaya menjadikan bola sepak suatu fenomena di seluruh pelosok negeri Johor.

Malah mengikut sebilangan peminat, faktor Tunku Ismail juga berjaya menjadikan FAM nampak lebih berhati-hati daripada melaksanakan Artikel 88 secara sesuka hati untuk menggantung 'penentang' dalaman.

Ini kerana walaupun telah mendapat amaran dan dijatuhkan hukuman, Tengku Ismail dilihat tiada masalah dalam memberikan pendapat dan terus menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Artikel kontroversi itu dikritik banyak pihak, termasuk timbalan presidennya yang digantung pada 2012 Tan Sri Annuar Musa menyifatkannya persis Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Artikel 88 peraturan 2011-2014 FAM menyebut, hanya presiden dan setiausaha agung yang boleh membuat kenyataan (mengenai bola sepak).

Dan sekiranya ada di kalangan mereka bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu mendapatkan izin kongres terlebih dahulu.

Sebelum penggantungan Annuar, dua bekas naib presiden FAM iaitu Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil juga dihukum FAM bawah peraturan sama.

Laluan sukar TMJ

Berbalik kepada persaingan kerusi presiden FAM, Tengku Abdullah kini menjadi 'kuasa baru' dan dilihat sedang meraih populariti di kalangan ahli gabungan kerana 'track record' baiknya.

Beliau juga kini salah seorang naib presiden Persatuan Bolasepak Asia dan pengerusi Jawatankuasa Pengelola Piala Asia di Australia tahun hadapan.

Malah Sultan Ahmad sendiri pernah menyatakan pada 2007, tatkala bola sepak negara dalam krisis, bahawa anaknya itu adalah lelaki 'terbaik' untuk menggantikan beliau.

Ketika itu, juga seperti sekarang, pelbagai golongan meminta agar pimpinan tertinggi FAM meletakkan jawatan selepas Malaysia yang menjadi tuan rumah Piala Asia dimalukan apabila dibelasah 5-1 oleh China dan 5-0 oleh Uzbekistan serta tersingkir di peringkat kumpulan.

Tengku Abdullah menjadi satu-satunya pimpinan yang dipuji apabila meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden sebelum dipilih semula pada 2010.

Sekiranya Sultan Ahmad sudah pun mengatur 'penggantinya' itu kemungkinan tiada saingan sengit dapat dilihat pada pemilihan kali ini.

Tengku Ismail pula dilihat sebagai masih mentah dan tidak sampai dua tahun namanya bergema dalam arena bola sepak negara.

Justeru beliau dijangka bakal melalui jalan sukar bagi mendapat sokongan majoriti dari ahli gabungan FAM.

Seramai 20 ahli gabungan FAM akan membuang undi 25 Mei depan bagi memilih peneraju bola sepak Malaysia bagi tempoh empat tahun mendatang.

Selain jawatan presiden, turut dipertandingkan dua jawatan timbalan presiden, naib presiden (4), exco lelaki (8) dan wanita (2).

Bagi jawatan timbalan presiden, antara yang dicalonkan Datuk Seri Subahan Kamal, Datuk Seri Afandi Hamzah, Datuk Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mungkinkah titah Sultan Ahmad 21 April lalu agar "may the best man win"(semoga yang terbaik menang) merupakan satu petanda kita bakal mendapat presiden baru?

ADS