Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Padang Serai N Surendran membidas tindakan polis menyiasat kenyataannya berkaitan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan bagi kes Liwat II dengan menyifatkannya sebagai "remeh dan menyalahi prosedur".

Walaupun setakat ini beliau masih belum dipanggil polis untuk memberi keterangan, naib presiden PKR itu tegas mempertahankan kenyataan yang dibuatnya pada 18 April lalu.

"(Saya) belum lagi dipanggil (untuk beri keterangan). Tiada apa-apa kesalahan jenayah dalam mengkritik penghakiman mahkamah

"Ini adalah penyiasatan yang remeh dan menyalahi prosedur. Polis perlu profesional dan jangan ikut kemahuan Pemuda Umno dan NGO pro-Umno.

"Saya tetap dengan kenyataan yang dibuat oleh saya," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini pagi ini.

Beliau mengulas tindakan polis mengambil keterangan Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar dan Editor Meja Bahasa Melayu Nash Rahman berhubung laporan berhubung kenyataan Surendran pada Jumaat lalu.

Polis mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan dalam kes hasutan dan percakapan dirakam bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam kenyataan itu, Surendran berkata, penghakiman mahkamah berhubung pencemaran bukti dalam kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkannya "bercanggah dengan common sense (sesuatu yang diterima akal)".

ADS