Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Nurul saman Utusan dicadang guna mediasi

Mahkamah Tinggi hari ini mencadangkan supaya kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad diselesaikan secara mediasi.

    

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat cadangan itu selepas kes berkenaan disebut dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Azhana Mohd Khairuddin yang mewakili Nurul Izzah dan peguam Asmirul Asraf Fadli mewakili Aziz dan Utusan.

    

Azhana ketika ditemui pemberita berkata mahkamah memberi masa sehingga 26 Mei ini untuk plaintif dan defendan berbincang berhubung proses mediasi itu.

    

Beliau berkata sekiranya kedua-dua pihak berkenaan gagal mencapai penyelesaian, mahkamah menetapkan dua hari bermula 21 Ogos depan untuk perbicaraan kes saman itu.

    

Pada 23 November 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman tersebut dengan mendakwa Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutarbelitkan kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

    

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya diterbitkan akhbar berkenaan pada 6 dan 7 November 2012.

    

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah itu, selain menuntut gantirugi am, ganti rugi teladan dan gantirugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    

- Bernama

ADS