Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Detektif TUDM, Laskar Udara Kanan Mohd Zunaidy Muchtar berkata, beliau menyaksikan bahawa Mejar Zaidi Ahmad menunjukkan saki baki kesan dakwat kekal di jari kepada wartawan.

Kataya, Mejar Zaidi berbuat demikian di sebuah khemah di perkarangan surau di kawasan ibu pejabat polis daerah Kepala Batas pada 1 Mei 2013.

Mohd Zunaidy berkata, beliau berada di celah-celah sekumpulan wartawan dan jurugambar di kawasan tersebut.

"Pada masa itu, saya bergerak ke kawasan khemah bersama Sarjan Khairul (saksi pertama), berlagak seperti wartawan, saya berjalan ikut belakang Mejar Zaidi.

"Saya dengar dia (Zaidi) perkenal diri kepada wartawan, dia bertugas di mana, dan dia memaklumkan tujuan dia buat report.

"Seterusnya dia menunjukkan jari dia yang (ada) dakwat kekal tapi tak kekal," katanya yang merupakan saksi kedua dalam perbicaraan Mejar Zaidi, pagi ini.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah tentera yang beliau melihat Mejar Zaidi tiba di balai tersebut berpakaian seragam nombor 3 TUDM pada jam 10.05 pagi.

Arahan jam 1 pagi

Beliau mengintip pergerakan Zaidi bermula jam 7.35 pagi selepas menerima panggilan telefon daripada Flight Sarjan Kamarul Asmawi (pada masa itu seorang sarjan) pada jam 1 pagi hari sama.

Menurutnya, Kamarul memaklumkan kepadanya bahawa Zaidi yang merupakan Pegawai Pemerintah Nombor 12 Skuadron 104 akan membuat laporan polis di balai polis IPD Kepala Batas pada hari tersebut.

Menurutnya lagi, beliau dimaklumkan Kamarul bahawa pegawai berkenaan serta individu yang berminat untuk menyertai Zaidi untuk membuat laporan akan berkumpul di satu lokasi di Kepala Batas.

"Beliau (Kamarul) mengarahkan saya membuat pemantauan di tempat tersebut," kata Zuraidy yang bertugas sebagai detektif TUDM di bahagian Keselamatan Fizikal dan Pencegahan Jenayah (KFPJ) TUDM di Skuadron 104 Provos Pengkalan Udara Butterworth.

Katanya, beliau melihat Zaidi dan beberapa individu tidak dikenali di sebuah restoran di lokasi tersebut dan mengekori kumpulan tersebut yang menuju ke IPD.

Zunaidy berkata, Mejar Zaidi seterusnya masuk ke dalam balai dan berada di dalamnya selama kira-kira sejam 30 minit.

Intip di balai

Katanya, selain Zaidi, beliau juga melihat seorang lagi anggota TUDM, yang dikenalpastinya sebagai Flight Sarjan Jamal, bersama seorang lagi wanita dalam sidang media dengan wartawan.

Ketiga-tiga individu tersebut menunjukkan kesan dakwat kekal di jari mereka kepada petugas media berkenaan di perkarangan surau tersebut.

Zunaidy adalah saksi kedua dari 17 orang saksi yang akan memberi keterangan pada perbicaraan ini.

Mejar Zaidi Ahmad didakwa dengan tujuh tuduhan - semuanya di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 - selepas lima tuduhan di bawah Seksyen 50(2) akta yang sama dipinda.

Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Pendakwaan hari ini dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.

ADS