Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi enggan mendedahkan senarai ahli lembaga yang berkuasa mengarahkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

Zahid dalam satu jawapan bertulis di Parlimen hari ini sekadar menyebut bahawa anggota lembaga berkenaan terdiri daripada "mereka yang mempunyai integriti yang tinggi dan berpengalaman selama lebih 27 tahun dalam bidang keselamatan dan pengamal undang-undang bertauliah".

Dalam jawapan bertulisnya juga, Zahid berkata siasatan terperinci yang dijalankan juga tidak akan didedahkan kerana khuatir akan mengganggu siasatan polis.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan MP Kampar, Dr Chung Sen yang ingin tahu butiran anggota panel PCA termasuk nama dan latar belakang mereka.

Chung yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan nama anggota lembaga berkenaan bagi menambat keyakinan orang ramai.

Ini kerana, keputusan oleh anggota lembaga berkenaan setakat ini menyebabkan seramai 132 ditahan tanpa bicara dalam tempoh dua bulan sejak dikuatkuasakan, katanya.

Chung berkata, Zahid menafikan hak kepada rakyat untuk mengetahui sebab dan bentuk jenayah yang dilakukan oleh mereka yang ditahan.

"Sesungguhnya ia cukup membimbangkan. Mengapa ada kerahsiaan penuh mengenai anggota panel Pencegahan Jenayah?

"Sekarang kita mempunyai tiga anggota panel di mana rakyat Malaysia dinafikan untuk mengetahui nama dan latar belakang mereka? Siapa mereka ini yang mempunyai integriti tinggi, berpengalaman dan bertauliah?," soal Chung dalam satu kenyataan bagi menjawab kepada Zahid.

"Jika kerajaan serius untuk memenangi kepercayaan rakyat berhubung pelaksanaan PCA, maka ia mesti dilakukan dengan telus dan akauntabiliti dalam semua proses. Bahkan sekarang ini,  butiran "anggota berwibawa" pun diselubungi kerahsiaan," katanya.

ADS