Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sampel air bekas lombong yang didakwa tidak selamat hasil kajian Universiti Malaya (UM) untuk disalur ke empangan Sungai Selangor, diambil dari kolam yang berlainan, kata exco Selangor.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam petang ini, Dr Ahmad Yunus Khairi berkata sampel air hasil kajian UM itu, diambil dari kolam yang berbeza kerana terdapat beberapa kolam di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Kajian itu digunakan oleh media, NGO serta MP Klang Charles Santiago dan Kelana Jaya Wong Chen yang meminta kerajaan negeri menghentikan mengambil air lombong dari kolam di situ.

"Sampel yang diambil beliau (profesor UM) adalah dari kolam yang berbeza.

"Kolam yang dimaksudkan (dalam) kajian UM di Bestari Jaya juga, tapi bukan (kolam) yang digunakan untuk sumber air.

"Beliau ambil sampel air dari kolam yang lain sebab di situ memang (terdapat) banyak kolam," katanya di dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Laporan khas akhbar New Straits Times 7 Mei lalu melaporkan hasil kajian dua kajian profesor UM pada 2010 menunjukkan air dari bekas lombong yang ingin digunakan kerajaan Selangor bagi menyelesaikan masalah kekurangan air mengandungi 'toksik'.

Akhbar itu juga menjalankan ujian makmal ke atas sampel air bekas lombong di Bestari Jaya, mendapati kandungan plumbum dan besi melebihi paras dan kadar selamat.

Selcat puas hati

Ekoran itu, Charles mendesak kerajaan negeri mendedahkan dokumen mengenai bekas lombong di Bestari Jaya atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Sementara itu Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Mohd Khairi Selamat berkata beliau telah menerangkan perkara itu kepada panel Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) Selasa lalu.

Beliau bagaimanapun berkata Charles dan Wong tidak hadir sewaktu  beliau bersama wakil Jabatan Kesihatan selangor dan Jabatan Kimia Malaysia memberi penjelasan mengenai sampel air lombong itu.

"Saya sudah jelaskan kolam itu bukan kolam yang kita gunakan. Dan pada masa saya jelaskan berkenaan perkara itu, kedua mereka tidak ada di dalam sidang tersebut.

"Dan dari penjelasan yang telah diberikan, pihak Selcat berpuas hati," katanya.

Ahmad Yunus turut menjelaskan kolam yang dipilih bagi projek saluran air ke empangan itu mesti mematuhi kriteria ketat iaitu dari segi saiz, akses, jarak dari sungai serta kualiti air yang ditampung.

"Berdasarkan Garis Panduan Kriteria Kualiti Air Mentah yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, terdapat 15 parameter logam berat yang perlu dipatuhi.

"LUAS bersama Jabatan Kesihatan mengambil sampel setiap minggu dan dihantar ke makmal yang diakredetasi dan Jabatan Kimia bagi memastikan ia selamat," katanya.

ADS