Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata PAS perlu mengemukakan alasan bagi saranannya untuk menarik kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Beliau tidak melihat apa-apa masalah dengan MAIS, walau PAS bersungguh-sungguh untuk meminda undang-undang untuk menghapuskan kuasa eksekutif badan itu.

"MAIS sekarang ini sudah elok dan baik, malah antara yang terbaik. Jadi apa masalahnya nak tarik kuasa mereka?

"Kita pembangkang tak ada masalah dengan institusi ini. Jadi saya mintak anda tanya PAS apa masalah mereka dengan MAIS ini?," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau tetap bertanya demikian selepas dimaklumkan bahawa PAS berhasrat agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menerima arahan daripada majlis itu lagi.

PAS juga mengemukakan alasan bahawa MAIS tidak seharusnya diberi kuasa eksekutif kerana ia dilihat rapat dengan Sultan Selangor.

"Institusi yang rapat dengan Sultan tidak boleh dilihat mempunyai kuasa eksekutif. Ia akan mencemarkan institusi (Istana) itu sendiri," kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Sementara itu Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shari pula bersetuju secara peribadi perkara ini atas alasan tidak boleh sekiranya wujud 'jabatan di atas jabatan' di negeri Selangor.

"Bila namanya 'jabatan' maka ia di bawah kerajaan negeri dan sepatutnya kuasa mutlak di bawah kerajaan negeri dan Sultan.

"Kalau itu asasnya maka kena kaji kembali kuasa eksekutif (MAIS) ini," kata beliau.

Amiruddin yang juga ADUN Batu Caves berkata PKR Selangor akan mengadakan sidang media bagi menunjukkan pendirkan mereka dalam hal ini esok.

Setiausaha DAP Selangor Lau Weng San ketika dihubungi bagaimanapun tidak mahu memberi komen tetapi berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

ADS