Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata masanya belum tiba untuk membincangkan pindaan rancangan tempatan bagi memasukkan pelan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Menurutnya, pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) belum pun memaklumkan kerajaan negeri akan jalan-jalan yang akan dilibatkan dalam pembinaan lebuh raya itu.

"Tatacara yang dibuat kerajaan negeri Selangor adalah, pihak berkuasa lebuh raya yang akan memberitahu kepada kerajaan negeri bahawa mereka sudah bersedia menentukan jalur-jalur jalan yang mereka mahu bina.

"Berdasarkan pada itu, kerajaan negeri akan buat apa yang dipanggil memberikan jalur-jalur itu kepada pihak berkuasa tempatan untuk dihebahkan kepada masyarakat di kawasan-kawasan tersebut.

"Oleh sebab itu saya rasa, oleh kerana kerajaan negeri belum dapat (apa-apa) dari LLM, kerajaan negeri belum akan meminta PBT mengumumkan perancangan-perancangan tersebut.

"Jadi isunya tidak timbul kerana saya belum dapat ketetapan dari LLM.

"Kalau saya dapat, masyarakat boleh memantau dan berbincang sama ada ia dapat dilakukan," katanya dalam sidang media di Shah alam tengah hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas tindakan beberapa ADUN Pakatan Rakyat Selangor pada 18 Jun lalu yang menggesa kerajaan negeri menolak sebarang usaha untuk memasukkan pelan Kidex ke dalam rancangan tempatan Petaling Jaya.

Kumpulan ADUN tersebut, yang diketuai R Rajiv menggesa agar perkara itu tidak dimasukkan sebagai pindaan ke atas rancangan tempatan tersebut.

Rajiv berkata rancangan untuk membina lebuh raya itu sendiri ditolak oleh anggota majlis Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

ADS