Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan diberitahu bahawa jawatankuasa pendamai menyelamatkan perkahwinan Nurul Izzah Anwar dan Raja Ahmad Shahrir Raja Salim tidak menemui sebarang penyelesaian.

Laporan itu dibacakan Hakim Ab Malek Awang yang sebelum ini mengarahkan jawatankuasa itu dibentuk bawah Seksyen 47(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

"Jawatankuasa pendamai bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak mahkamah kerana tiada jalan penyelesaian di antara kedua-duanya dan kedua-duanya tetap dengan keputusan masing-masing," laporan itu dipetik Hakim Abd Malek yang membacakannya.

Nurul Izzah dilaporkan tetap mahu meneruskan permohonan cerainya sementara Raja Shahrir pula enggan melafazkan cerai terhadap beliau.

Laporan jawatankuasa yang berbincang pada 26 Mei 2014 itu juga menyebut bahawa MP Lembah Pantai itu dan suaminya sudah tidak tinggal bersama bermula 17 April 2014.

Nurul Izzah, 32, sebelum ini mewakilkan bapa saudaranya, Che Rosli untuk berbincang dalam jawatankuasa itu.

Sementara Raja Shahrir, 35, pula diwakili seorang kenalan karib, Mohd Fauzi Mustaffa dalam jawatankuasa itu.

Hakim kemudian menetapkan menetapkan tarikh 7 Ogos 2014 untuk memberi peluang kepada peguam suaminya, Zulkifli Che Yong untuk meneliti laporan itu.

Hakim juga memerintahkan Raja Shahrir yang tidak hadir pada hari ini, agar hadir pada tarikh tersebut.

Sewaktu perbicaraan berlangsung, peguam Zulkifli Che Yong mempertikaikan tindakan jawatankuasa itu yang berbincang dalam tempoh terlalu singkat dan mengambil keputusan yang mereka telah gagal menemui jalan perdamaian.

Hujahnya, Seksyen 47(9) memperuntukkan tempoh selama enam bulan atau lebih lama lagi untuk jawatankuasa itu mencapai perdamaian di antara kedua-dua pihak.

Seksyen 47(8) pula memberi kuasa kepada mahkamah untuk memecat jawatankuasa itu jika tidak berpuas hati dengan perjalanan perdamaian dan melantik jawatankuasa pendamai yang baru.

Bagaimana pun, peguam Nurul Izzah, Normawaddah Ramli membantah hujah itu.

"Jika jawatankuasa pendamai dirujuk sekali lagi, ia akan memudaratkan anak guam saya (Nurul Izzah) katanya," hujahnya.

Beliau kemudian memohon mahkamah meneruskan kes tersebut berdasarkan Seksyen 47(14) yang "menasihatkan suami berkenaan agar melafazkan talak di hadapan mahkamah".

Jika suami enggan melafazkan cerai, akta sama memperuntukkan agar hakam (penimbang tara) dilantik seperti diperuntukkan bawah Seksyen 48.

Bawah Seksyen 48(6) pula, sekiranya hakam itu mendapati perkahwinan gagal tetapi masih tidak dapat memerintahkan perceraian, mahkamah boleh melantik hakam lain yang akan diberi kuasa untuk memerintahkan perceraian dan menghantar satu salinan rekod perceraian itu kepada pendaftar.

Zulkifli Che Yong bagaimana pun memohon mahkamah memberi pihaknya masa meneliti laporan itu kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk berbuat demikian bawah Seksyen 47(7), 47(8), 47(9) dan Seksyen 47(10).

ADS