Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan supaya anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) "dilantik oleh Sultan Selangor atas nasihat menteri besar" sepertimana yang diamalkan sebelum dipinda pada 2012.

Katanya, kerajaan negeri dengan kepakaran melalui penasihat undang-undang negeri, perlu berbincang bagi memastikan ia dikembalikan bagi mengelak "pertembungan antara insitusi istana dan kerajaan negeri" dalam sesuatu tindakan yang diambil.

Menurutnya, cadangan itu juga dapat melindungi institusi Istana daripada kritikan dan teguran.

"Kita menunggu respons terhadap cadangan itu dari kerajaan negeri. Kita berharap istana dan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan.

"Kita tidak mahu institusi Sultan dan institusi rakyat (kerajaan pilihan rakyat) bertembung. Ada keselariannya.

"Saya percaya tidak ada orang Islam mahu menggadai Islam walaupun mempunyai pandangan berbeza, (sebab) masing-masing ada dalil dan hujah," katanya dalam sidang media petang ini.

Khalid berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa beliau serta tiga lagi MP PAS Selangor mahu menghakis kuasa Sultan dengan menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.

Mengulas lanjut, Khalid menafi dakwaan tersebut dan berkata cadangan mereka di Parlimen baru-baru ini "tidak bererti menolak kedudukan Sultan sebagai ketua agama Islam di Selangor".

"Kuasa eksekutif itu tidak bererti menolak Sultan dalam membuat sesuatu keputusan atau sebagai ketua agama.

"Hanya kaedah pelaksanaannya seharusnya mengikut kaedah betul dari sudut politik, sesuai dengan suasana politik, bukan tujuan untuk menimbulkan ketegangan atas sebab politik tertentu," katanya.

Khalid turut menolak dakwaan bahawa pendirian beliau menentang tindakan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible kerana mahu mendapat undi dan membela bukan Islam.

Sebaliknya, tegas Khalid, beliau berbuat demikian demi untuk "membela Islam daripada tercemar, membela hak bukan Islam yang diceroboh dan membela imej orang Melayu yang diperbodohkan".

"Saya menyeru supaya umat Islam yang tahu kedudukan Islam yang mengajar menghormati hak dan agama lain supaya bersuara bersama-sama," katanya.

ADS