Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Shah Alam Khalid Samad berkata sentimen "Islam cauvinis" yang ditunjukkan oleh ketua penerangan PERKASA Ruslan Kassim tidak boleh dibiarkan kerana akan menyebabkan pergaduhan antara kaum.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ruslan, Isnin lalu yang mengancam untuk "memancung kepala" empat MP Selangor kerana didakwa mempersenda Islam dan menghina Sultan Selangor melalui kenyataan berhubung isu rampasan Bible.

Khalid mendakwa pendekatan "Islam cauvinis" merujuk kepada pendekatan mengadu domba orang Islam dan bukan Islam, yang didakwa turut dilakukan Umno dan satu lagi NGO pro-Melayu, JATI.

Menurutnya, pihak berkenaan berusaha untuk menunjukkan kuasa ketuanan Melayu dengan tindakan bahawa orang Islam "berkuasa dan orang lain perlu tunduk" walaupun ia mengganggu hak agama lain.

"Jika diteruskan tidak mustahil akan terjadi pergaduhan seperti yang berlaku di Myanmar, Sri Lanka. Islam menolak (cara ini)," kata Khalid dalam sidang medianya petang ini.

Ruslan semalam membuat penjelasan bahawa ancaman untuk "memancung kepala" itu hanyalah merujuk kepada "masa depan politik pada MP PAS berkenaan, dan bukannya memancung secara fizikal.

Elak rakyat marah pada sultan

Beliau menujukan ancaman itu ke atas Khalid Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat).

Para MP berkenaan sebelum ini mencetus kontroversi melalui kenyataan yang menggesa kerajaan negeri Selangor untuk meminda undang-undang bagi mengehadkan kuasa Selangor Majlis Agama Islam Selangor.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Khalid berkata cadang untuk menghapuskan kuasa eksekutif MAIS itu dibuat bagi memastikan kuasa pelaksanaannya itu dibuat mengikut cara sepatutnya, melalui kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Katanya, ia akan mengelakkan sultan menjadi sasaran apabila berlaku apa-apa kesilapan dalam pelaksanaannya.

"Apabila (bercakap tentang) pelaksanaan mesti ada yang tersilap, menyebabkan rakyat marah dan marah itu ditujukan pada kerajaan, dan bukannya (ke atas) sultan.

"Maka sultan akan bersih daripada tersilap," katanya daalm sidang media tersebut.

Beliau juga menasihatkan MAIS mengambil kira pandangan rakyat melalui kerajaan negeri bagi mengelakkan imej Islam dan institusi raja rosak.

ADS