Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada tolak ansur penjawat awam terlibat militan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berikrar bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota penguatkuasa yang didapati terlibat dengan aktiviti militan dan disyaki khianat kepada negara.

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau kewujudan sebarang elemen khianat kepada negara di kalangan anggota penguatkuasa kerajaan.

"Kita tak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau penguatkuasa agensi penguatkuasaan.

"Yang lalu kita telah menahan seorang anggota TLDM (tentera laut) dan saya telah beritahu mana-mana pegawai dan anggota agensi akan terus dipantau.

"Pemantauan itu yang memberhasilkan seorang anggota polis ditahan kerana menjadi tali barut," katanya dalam sidang media di Putrajaya, tengah hari ini.

Jelas Zahid, beliau berpendapat bahawa anggota penguat kuasa negara yang ditangkap kerana disyaki mengkhianati negara berbuat demikian kerana beberapa faktor.

"Pertama mungkin mereka bersimpati dengan penceroboh itu kerana faktor keturunan.

"Kedua, ada kemungkinan faktor kewangan.

"Ketiga, mungkin atas janji-janji yang diberikan pihak musuh kepada mereka," katanya.

Seorang anggota polis berpangkat koperal semalam adalah antara enam yang ditahan dalam satu operasi khas sekitar daerah Kunak di Sabah kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Sulu.

Khalid mengenal pasti anggota polis itu sebagai Koperal Zainuddin Mislani.

Semua mereka ditahan di bawah Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Zahid berkata pihak polis tidak bertanggungjawab memantau individu yang dipercayai terlibat dalam kumpulan bersenjata tetapi berada di luar negara.

"Kalau kita pantau tapi mereka ada di luar negeri, itu bukan tanggungjawab polis dan jangan menuduh polis gagal sebab mereka melakukan aktiviti dan mendapat latihan di luar negara.

"Polis tak boleh halang kalau mereka dapat visa untuk pergi ke negara berkenaan.

"Saya fikir ini soal tanggungjawab semua untuk elakkan perkara-perkara seperti ini dapat dielakkan daripada berlaku," katanya.

Namun katanya, polis tetap menerima maklumat berkenaan individu-individu ini daripada polis negara-negara Asean (Aseanapol) dan polis antarabangsa (Interpol).

"Undang-undang sedia ada dan pemantauan yang dilakukan polis terhadap militan yang datang daripada Malaysia adalah usaha berpanjangan.

"Ia dibuat melalui intipan ataupun pemantauan maklumat-maklumat dari media sosial atau pun maklumat yang diperolehi Aseanapol atau Interpol," katanya.

ADS