Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini membenarkan pemohonan Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah yang mengarahkan pihak polis membantu mendapatkan anak-anak N Viran @ Izwan Abdullah, yang terlibat dalam kes perebutan jagaan.

Mahkamah sebelum itu membenarkan Ketua Polis Negara menjadi pencelah dalam permohonan sebelah pihak itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin, selepas mendengar hujaha peguam Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd Rais.

Ini berikutan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, pada 19 September, memberi hak jagaan dua anaknya kepada Viran @ Izwan.

Ini diikuti dengan perintah yang berasingan oleh Mahkamah Syariah yang sama supaya pihak polis mencari dan mendapatkan kanak-kanak tersebut.

Zulkifli memberitahu pemberita bahawa perintah penangguhan itu diperolehi hari ini sementara menunggu keputusan mengenai bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

Difahamkan, IGP, melalui Jabatan Peguam Negara, juga telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi sivil untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah ke atas mereka, yang diperolehi S Deepa, bekas isteri Viran, yang diberikan hak penjagaan ke atas kedua-dua kanak-kanak oleh mahkamah sivil.

ADS