Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, bahawa pemikiran Kassim Ahmad dianggap sebagai kufur dan murtad, hanya terpakai di negeri itu sahaja.

Katanya, pihak berkuasa agama di negeri lain perlu membuat keputusan masing-masing berhubung pemikiran aktivis sosial itu, yang kini dituduh di mahkamah atas kenyataan kontroversinya.

"Pandangan yang diberikan oleh Jawatankuasa Fatwa Terengganu (bermakna) bahawa keputusan itu hanya di peringkat negeri itu.

"Negeri lain, terpulang kepada mereka nak buat keputusan berdasarkan perbincangan di peringkat negeri (masing-masing," katanya dalam sidang medianya di Pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada keputusan fatwa jawatankuasa fatwa itu terpakai di Terengganu atau termasuk di negeri-negeri lain.

Fahaman sesat, menyeleweng

Jamil Khir mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Terengganu yang sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan bekas aktivis politik dan sosial itu dalam  'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian', Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh dilapor berkata "fahaman atau golongan tersebut sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka".

Menurut Mohd Rozali lagi, ucapan Kassim mempunyai unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat.

Jawatankuasa fatwa itu turut memutuskan apa jua fahaman yang berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat dari berkembang.

ADS