Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa Pengerusi NGO MyWatch R Sri Sanjeevan tidak memberi kerjasama untuk membantu siasatan polis terhadap dakwaan anggota polis terlibat dalam kes jenayah.

Khalid berkata beliau telah menghantar pegawai kanannya untuk menemui pemimpin NGO antijenayah itu untuk menyiasat penglibatan anggota polis dalam kes jenayah tetapi beliau enggan menyerahnya.

"Kalau kita ada cukup bukti, kita tidak melindungi anggota kita. Pernahkah kita melindungi anggota kita dalam kes jenayah? Kalau ada bukti, kemukakanlah.

"Begitu juga dengan saudara Sanjeevan, dia selalu mendedahkan itu dan ini. Bila saya hantar pegawai kanan saya (untuk dapatkan maklumat), dia tak mahu bagi.

"Saya tak tahu dia nak bagi dekat siapa. Kita akan menyiasat apa pun aduan atau tohmahan. Kita akan ambil tindakan," katanya dalam sidang medianya hari ini.

Bagaimana Khalid tidak menyatakan bentuk kes jenayah yang cuba dibangkitkan oleh Sanjeevan apabila didesak oleh wartawan, sebaliknya meminta merujuk kepada laporan portal berita yang sering melaporkan mengenai pendedahan Sanjeevan ( atas ).

Khalid berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada ada polis akan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang didakwa terlibat dalam melindungi aktiviti jenayah kongsi gelap di negara ini.

Jejak anggota militan

Portal itu sebelum ini melaporkan pendedahan Sanjeevan antara lain dakwaan kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh anak seorang pegawai kanan polis dan dakwaan ketua polis daerah Langkawi menerima rasuah.

Mengulas lanjut mengenai lima rakyat Malaysia yang terlibat aktiviti militan, Khalid berkata pihaknya sedang berusaha menjejaki mereka yang kini berada dalam dan luar negara.

"Mereka ini sangat merbahaya... Saya ingin tegaskan hal yang berkaitan dengan terorisme, Insya-Allah, kita sedang menangani. Kita juga bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan yang lain," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya mempunyai cara menangani aktiviti itu dan menegaskan  "tidak memilih bulu" terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktviti militan.

Khalid turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan polis kerana tidak bertindak tegas terhadap jenayah kongsi gelap dan kegiatan perjudian haram.

Beliau berkata tidak seharusnya pihak polis dipersalahkan malah semua pihak bertanggungjawab menghapuskan jenayah itu.

"Tindakan kita berterusan, malah di Kementerian (Dalam Negeri) kita ada jawatankuasa khas untuk mengatasi perjudian haram," katanya.

ADS