Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dasar Kabotaj Negara untuk kepentingan negara tetapi pada masa yang sama memberikan kekurangan kepada Sabah.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee ( kiri ) dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Yong berkata, ekonomi Sabah menerima kesan terutamanya dalam pengekspotan barangan berorientasikan pembuatan dan pengimpotan barangan penguna hasil daripada dasar tersebut.

Dikatakan bahawa pengimport dan pengeksport di Sabah terpaksa membayar harga lebih daripada untuk perkhidmatan perkapalan yang menyebabkan harga barangan di Malaysia Timur lebih mahal.

“Jika Malaysia berkeras ingin mengekalkan dasar kabotaj, maka ia harus melihat apa yang diterima pakai oleh negara-negara lain bagi mengimbangi kesan buruk yang dialami oleh komponen lain (Sabah) negara ini,” tegas Yong.

Seterusnya beliau memberikan contoh bagaimana Australia memperuntukkan sebanyak RM300 juta setahun kepada Tasmania Freight Equalisation Scheme bagi mengurangkan kos tarif yang dihadapi ekonomi pulau Tasmania.

Begitu juga dengan perbelanjaan RM4.6 bilion setahun sebagai subsidi tol jalan bagi mengurangkan beban pengguna jalan raya di Semenanjung Malaysia, tambah beliau.

“Mengapa kerajaan yang sama (Malaysia) tidak boleh menurunkan tarif perkapalan yang disebabkan oleh dasar kabotaj negara dengan menyediakan dana yang boleh membantu penyeragaman harga di negara ini?”

“Mengapa Sabah dibiarkan menderita hasil dari kesan negatif Dasar Kabotaj Negara?” Soal Yong sambil menegaskan bahawa dasar ini tidak akan terpakai di Sabah sekiranya Sabah bukan sebahagian daripada negara Malaysia.

Lindungi syarikat perkapalan

Isu ini hangat diperdebatkan terutamanya daripada parti pembangkang kerana dipercayai kos barangan yang lebih tinggi Sabah berpunca daripada dasar ini.

Gesaan terbaru sebelum ini datang daripada Setiausaha penganjur DAP Sabah Junz Wong yang menegaskan dasar ini perlu dimansuhkan.

“Mengapa kerajaan harus terus membenarkan syarikat-syarikat perkapalan yang dilindungi ini untuk terus mengaut keuntungan daripada kepayahan rakyat Sabah?” soalnya.

Junz yang juga ADUN Likas turut mendakwa bahawa perbezaan harga timbul disebabkan monopoli syarikat-syarikat ini yang mempunyai kawalan eksklusif perdagangan laut dalam negeri.

Pemansuhan dasar ini akan meningkatkan persaingan serta memastikan harga yang lebih adil bagi semua dan yang paling penting ia akan mengembalikan keadilan bagi Sabah dan Sarawak, tambah Junz.

Dasar Kabotaj Negara dilancarkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 1 Januari 1980.

Ia dilaksanakan bagi membantu perkembangan industri perkapalan tempatan dan menyekat penglibatan kapal perdagangan asing dalam penghantaran kargo domestik.

ADS