Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pegawai Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Kluang Sheikh Omar Ali hari ini membuat laporan polis kerana bahagian pintu depan kereta jenis Hyundai miliknya disimbah cat merah.

Dalam laporan polisnya, Sheikh Omar berkata beliau tidak mengetahui pihak yang terlibat menyimbah cat merah itu ke pintu kereta ungunya dan membuat laporan polis kerana bimbang sesuatu berlaku terhadap dirinya, keluarga dan harta benda miliknya.

Menurut bekas aktivis siswa itu lagi, beliau dimaklumkan mengenai insiden itu oleh ibunya kira-kira 7.30 pagi tadi dan membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Dalam kenyataannya pula, Sheikh Omar ( gambar sebelah, kiri ) berkata beliau tidak mengetahui motif tindakan itu dibuat dan mengesyaki mempunyai kaitan dengan insiden rombongan pusat khidmat itu yang diketuai MP Kluang Liew Chin Tong dihalau keluar dari bazar Ramadan di Kluang minggu lalu.

"Sepanjang hampir 30 tahun saya membesar dan berulang alik ke rumah orang tua saya di Taman Indah Jaya Kluang ini, inilah kali pertama kejadian seperti ini berlaku," katanya.

Bekas pemimpin pelajar - yang kembali ke Kluang selepas menetap di ibu negara selama 10 tahun - turut menyuarakan kebimbangan mengenai kerukunan di kampungnya susulan kejadian tersebut.

"Sekarang saya rasa serabut... Saya bimbang dengan kerukunan di kampung ini (selepas insiden ini). Keluarga saya tidak masalah dengan sesiapa pun," katanya dihubungi Malaysiakini kemudiannya petang ini.

Pada 30 Jun lalu, mereka mengadakan ziarah di bazar Ramadan di Bandar Kluang sambil mengedarkan kurma kepada pengunjung tetapi dihalau keluar oleh petugas keselamatan bazar kerana didakwa tidak memiliki surat kebenaran.

Beberapa hari kemudian, Ketua Pemuda Umno Kluang telah meminta maaf dan menyatakan kekesalan terhadap insiden yang berlaku dan mengajak mereka turut serta dalam ziarah di bazar itu.

ADS