Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Unsur niat mencetuskan kebencian kaum dan agama menjadikan proses pendakwaan bawah Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama lebih ketat berbanding proses sama bawah Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, kenyataan bersifat perkauman tetapi tidak bertujuan membangkitkan kebencian tidak tertakluk bawahnya.

"Satu-satu kenyataan itu mungkin bersifat perkauman tetapi ia mungkin tidak tertakluk di bawah akta ini kelak - ini bagi memastikan kebebasan bersuara itu terjamin.

"Ia mempunyai julat untuk pendakwaan yang lebih tinggi - perlu ada niat untuk mencetuskan kebencian agama atau kaum, dan perlu ada elemen niat untuk mencetuskan keganasan.

"Tak mudah untuk pendakwaan (dilakukan)," kata MP Parit Buntar itu dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.

Jelasnya lagi, insiden terkini seperti tindakan melempar kepala lembu di hadapan rumah wakil rakyat DAP yang beragama Hindu, dan insiden melempar kepala babi ( bawah ) ke perkarangan masjid jelas boleh didakwa bawah draf rang undang-undang itu.

Sebagai perbandingan katanya lagi, Akta Hasutan 1948 yang asalnya dirangka untuk melindungi kepentingan British tidak terperinci seperti rang undang-undang baru itu.

Jelasnya, akta itu hanya menangani isu ketenteraman awam dan bukannya jenayah kebencian kaum dan agama yang khusus.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak menjamin tuduhan pendakwaan terpilih - yang selalu dilemparkan terhadap tindakan bawah Akta Hasutan - tidak akan turut berlaku kepada rang undang-undang itu apabila ia diwartakan sebagai akta kelak.

"Saya tak dapat beri jaminan ke atas perkara itu kerana rang undang-undang ini tidak menyentuh apa-apa perkara tentang pendakwaan terpilih.

"Ia adalah perkara yang perlu dipastikan Pejabat Peguam Negara, ia di luar bidang tugas kami," katanya.

Bukan tongkat sakti

Beliau turut menekankan bahawa rang undang-undang itu bukan 'tongkat sakti' untuk meredakan kemungkinan berlakunya ketegangan kaum dan agama yang sentiasa menghambat negara.

Menurutnya, matlamat tersebut hanya boleh dicapai apabila undang-undang sedemikian berjalan serentak dengan proses pendidikan dan kebudayaan.

Menurutnya, MKPN kini berhadapan dengan cabaran  memastikan rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

Ia ekoran suara-suara NGO yang mesra dengan kerajaan dan menyuarakan pandangan kritis mereka terhadap draf rang tersebut.

"Ia amat malang sekali jika kita menolak terus rang undang-undang ini.

"Sebagai pembuat undang-undang, saya mungkin tidak setuju dengan satu atau dua klausa di dalamnya.

"Namun ia tidak bermakna saya perlu menolaknya secara keseluruhan.

"Matlamat besar rang undang-undang ini perlu diambil kira," katanya.

Bertolak ansur demi 'matlamat besar'

Menurutnya, jawatankuasa yang dipimpinnya dan MKPN berlapang dada untuk bertolak ansur demi "matlamat besar".

Tolak ansur berkenaan jelasnya mungkin melibatkan pengguguran klausa berkaitan diskriminasi dan perlindungan terhadap mereka yang mengamalkan orientasi seks berbeza.

"Semuanya bergantung kepada nota yang kami serahkan kepada menteri yang bertanggungjawab iaitu (menteri undang-undang) Nancy Shukri.

"Beliau akan membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaannya sama ada klausa-klausa itu kekal atau tidak.

"Kami akan bertoleransi dengan satu atau atau dua klausa, bagi kami yang penting adalah mencapai matlamat besar," kata pengerusi biro perpaduan nasional PAS ini.

Draf rang undang-undang itu yang kini dibuka untuk maklum balas orang ramai dirangka dengan tujuan untuk menghukum sebarang bentuk jenayah kebencian yang khusus.

Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar adalah satu daripada lima jawatankuasa di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang ditubuhkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Jawatankuasa ini turut dianggotai bekas pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee selaku timbalan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.


Wawancara dilakukan oleh Ram Anand, Ahmad Fadli KC dan Zulaikha Zulkifli.

Esok: Tolak diskriminasi, bukan iktiraf gaya hidup LGBT

ADS