Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'pura amat bimbang dua projek tebus guna M'sia
Diterbitkan:  Jul 10, 2014 6:42 AM
Dikemaskini: Jul 10, 2014 12:28 AM

Singapura akan menjalankan kajian sewajarnya bagi menentukan bagaimana dua projek tebus guna tanah di Selat Johor boleh memberi kesan kepada republik itu.

    

Ketika bercakap di Parlimen pada Khamis, Menteri Kanan Negara bagi Hal Ehwal Luar Masagos Zulkifli berkata Singapura amat bimbang mengenai potensi kesan rentas sempadan terhadap Singapura akibat projek tebus guna tanah di Malaysia, yang berdekatan dengan republik itu.

    

Kedua-dua projek tebus guna tanah itu dijalankan oleh Country Garden Holdings Company Ltd dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor di bahagian barat Selat Johor, juga dikenali sebagai Forest City serta yang kedua oleh Guangzhou R&F Properties Company Ltd di perkarangan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin lama berdekatan Tambak Johor, juga dikenali sebagai R&F Princess Cove.  

    

Masagos berkata Singapura tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai projek tebus guna tanah itu.

    

"Dalam hubungan ini, kita telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan  kepada Malaysia berhubung projek-projek ini.

    

"Kita telah meminta semua maklumat yang perlu mengenai kerja-kerja tebus guna tanah dan pembinaan termasuk laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) serta tempoh yang dijangka untuk siap bagi kajian dan pertimbangan kita," katanya.

    

Perkara itu telah disampaikan menerusi surat daripada Agensi Alam Sekitar  Kebangsaan (NEA) kepada rakan sejawatnya di Malaysia, dan melalui nota pihak ketiga sebagai saluran perhubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua kerajaan.

    

Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga sudah bercakap dan menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu manakala  Menteri Pembangunan Kebangsaan Singapura Khaw Boon Wan telah menulis surat kepada pengerusi bersama Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bagi menyuarakan kebimbangan Singapura.

- Bernama

ADS