Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
45 kawasan di S'gor, KL masih ada gangguan air
Diterbitkan:  Jul 10, 2014 7:00 AM
Dikemaskini: 11:17 PM

Hanya 45 daripada 512 kawasan di wilayah Selangor dan Kuala Lumpur masih mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah sejak Isnin lepas berikutan kekurangan pengeluaran air terawat di dua buah Loji Rawatan Air (LRA).

    

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam kenyataan semalam berkata antara kawasan tersebut ialah Taman Melati, Ampang Jaya, Desa Pandan, Jalan U-Thant dan Setapak Jaya.

    

"Masalah ini disebabkan pengurangan pengeluaran air terawat sebanyak 137 juta sehari (JLH) dari LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

    

"Pengurangan pengeluaran air daripada LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) yang diuruskan oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd itu juga berlaku disebabkan penurunan paras aliran air mentah Sungai Selangor," katanya.

    

Syarikat itu berkata bagi membantu mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan tersebut, pihaknya meletakkan lori-lori tangki dan tangki statik untuk pengagihan bekalan air kecemasan.

    

"Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna-pengguna kritikal seperti hospital kerajaan/swasta, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri," menurut kenyataan itu.

    

Menurut SYABAS pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa melalui media massa.

    

- Bernama

ADS