Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Kenyataan '13 Mei' diputarbelit
Diterbitkan:  Jul 10, 2014 11:11 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel terhadap umat Islam di Palestin kerana ia merupakan tindakan zalim mengikut nafsu dan berniat jahat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu telah lama berlarutan walupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB telah membuat ketetapan supaya Israel menghentikan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Beliau berkata banyak perkara yang wajar dilakukan telah diputuskan oleh pihak yang terbabit dalam menyelesaikan konflik di Palestin termasuk Israel tetapi rejim itu tidak mematuhinya.

"Mereka tak mengendahkan langsung tuntutan suara masyarakat global dan terus ambil tindakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

"Mereka bertindak zalim menyebabkan ratusan ribu, jutaan rakyat Palestin terbunuh termasuk kanak-kanak, dan ada menjadi pelarian," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran model pendidikan Islam Ulul Albab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Mergong, di Alor Setar, hari ini.

Muhyiddin berkata tindakan Israel itu amat mendukacitakan dan kerana itu Malaysia mengambil pendirian cukup tegas sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Kita berikan sokongan bukan hanya moral tetapi material sampai ke hari ini termasuk misi kemanusiaan...hantar bantuan perubatan dan sebagai yang nilainya agak besar tetapi keadaan sebegini masih berlaku," katanya.

Katanya peristiwa seperti ini boleh dijadikan ikhtibar kepada rakyat Malaysia selain rasa prihatin terhadap peristiwa malang yang menimpa umat Islam di Palestin dan beberapa negara lain.

Beliau berkata kerana itu adalah penting untuk memberikan peringatan supaya apa yang ada hari ini dikekalkan.

Muhyiddin turut melahirkan rasa kecewa kerana terdapat beberapa pihak  memutarbelitkan kenyataannya berhubung trajedi 13 Mei 1969.

Timbalan Perdana Menteri berkata: "Beberapa hari lepas saya menyentuh kebimbangan saya tentang kemungkinan tercetusnya pergaduhan kaum kalau kita tidak jaga dan pelihara keamanan, perpaduan dan hubungan baik antara kaum yang ada ketika ini.

"Ada manusia di Malaysia tertentu tak faham cakap saya... diputarbelitkan malah dijadikan kenyataan politik. Peringatan untuk pelihara keamanan dan kesejahteraan itu wajib. Bukan hanya tumpu kepada orang Melayu sahaja tetapi masyarakat keseluruhan. Islam dan bukan Islam ada tanggungjawab bersama," katanya.

Katanya memberi peringatan seperti itu bukanlah satu kesalahan tetapi kalau diputarbelit oleh pihak tertentu untuk tujuan politik akan timbul salah faham dan salah tanggap.

Selepas majlis tersebut, Muhyiddin menghadiri majlis berbuka puasa kerajaan negeri Kedah di sekolah yang sama serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

- Bernama

ADS