Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'ISMA dituduh perkauman kerana pertahan Islam'
Diterbitkan:  Jul 11, 2014 4:18 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hairan apabila pertubuhan itu dilabelkan bersifat perkauman kerana membela Islam.

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata MP PAS dari Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof tidak memahami pertubuhan itu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Mujahid yang menganggap ISMA lebih bersifat perkauman dan merbahaya berbanding NGO pendesak Melayu, PERKASA.

"Kami hanya berjuang untuk Islam dan mempertahankan identiti Islam negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Dan kerana itu, kami dilabelkan sebagai rasis," katanya.

Beliau turut membidas Mujahid yang didakwa berhujah tanpa isi dan gagal menyokong tuduhan terhadap ISMA itu dengan kefahaman politik Islam.

"Beliau mengulangi tuduhan-tuduhan yang dibuat golongan liberal terhadap pendukung-pendukung Islam yang mempertahankan identiti Islam negara ini.

"Adakah beliau menganggap proses membuang identiti kita dalam proses liberalisasi itu sebagai satu bentuk keharmonian?

"Adakah beliau menganggapnya sebagai satu sudut pandang Islam? Jika ya, beliau telah melencong jauh dari sudut pandang Islam," katanya.

ADS