Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno bersama wakil beberapa NGO bertindak membakar bendera Israel sebagai membantah kempen ketenteraan rejim Zionis ke atas Tebing Gaza yang sedang berlangsung sekarang ini.

Tindakan itu yang diketuai Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun ( bercakap dengan pembesar suara ) dilakukan pada satu himpunan sekitar jam 2.45 petang ini di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).  

Exco Pemuda Umno, Arman Azha Abu Hanifah mendakwa himpunan itu disertai kira-kira 200 orang dan ia dibuat untuk menyatakan kemarahan Malaysia kepada "tindakan tidak berperikemanusiaan" Zionis.

“Kita mengecam kekejaman rejim Zionis, kita buat demonstrasi ni supaya Amerika syarikat beri tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan mereka ke atas Palestin dan juga negara Islam dalam dunia ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, mereka tidak gentar dan bersedia dikerahkan ke Palestin bagi menyalurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa tersebut.

“Andai dibenarkan pergi, kita akan bersedia tak kiralah dalam bulan Ramadan atau hari raya nanti, kita akan pergi,” katanya ( dalam gambar kiri ).

Arman juga memaklumkan satu memorandum membantah kekejaman Israel akan dihantar kepada kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, pada minggu hadapan.

Antara NGO yang menyertai himpunan tadi adalah  Kelab Putra 1Malaysia, Suara Anak Muda 1Malaysia dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Sementara itu, Bernama melaporkan sekurang-kurangnya 81 orang rakyat Palestin mati dan ratusan lagi cedera akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel ke atas Gaza.

    

Agensi sama turut memetik laporan berita bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Israel bakal menggembleng 40,000 tentera untuk serangan darat terhadap Gaza.

Serangan itu yang menyusuli serangan udara sebelum ini dikenali sebagai 'Operasi Perlindungan Sempadan'.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menurut Berita Harian hari ini menyarankan agar masjid dan surau membuat solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah untuk keselamatan umat Islam di Gaza.

Pemuda PAS pula memaklumkan mereka akan menggerakkan tabung kemanusiaan bagi tujuan sama.

ADS