Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam.

"(Pertemuan) empat mata?... Tak ada (pertemuan empat mata). Ribuan mata adalah," katanya dalam sidang medianya petang ini.

Najib ditanya sekiranya benar beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Khalid selepas majlis berbuka puasa di Bukit Jelutong semalam.

Presiden Umno itu berkata berkata Khalid hadir ke majlis tersebut sebagai menghormati beliau sebagai ketua kerajaan di peringkat pusat.

"Beliau hadir sebagai menghormati saya sebagai ketua kerajaan pusat. Dan saya menghormati beliau sebagai ketua peringkat negeri. Saya tak pelawa dia masuk Umno," katanya.

Penjelasan Najib itu mengundang  gelak ketawa para wartawan dan pemimpin kanan Umno dalam sidang media tersebut.

Khalid Ibrahim, yang berdepan dengan tekanan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor, malam tadi mendapat suntikan moral daripada perdana menteri yang mengakui boleh berkerjasama dengan beliau walaupun berbeza fahaman politik.

   

Laporan hari ini menyebut, Najib turut berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana menghadiri majlis anjuran pejabat Pembangunan Persekutuan Selangor malam tadi.

ADS