Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBB: DAP S'wak cuba alih perhatian terhadap KM
Diterbitkan:  Jul 12, 2014 6:45 AM
Dikemaskini: 10:56 PM

Permintaan DAP Sarawak agar kerajaan negeri mengadaptasi 10 perkara dasar pembaharuan terhadap sistem pentadbiran negeri dianggap bertujuan mengalih perhatian umum terhadap sokongan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

    

Perkara ini dinyatakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak bahawa permintaan itu juga bertujuan mengalih perhatian terhadap masalah yang sedang berlaku dalam kalangan Pakatan Rakyat di Semenanjung.

    

"DAP semakin kekurangan modal dan berusaha kuat untuk mendapatkan publisiti menjelang pilihan raya negeri melalui media.

    

"Penerimaan positif penyokong pembangkang kebelakangan ini terhadap pentabiran ketua menteri merupakan ancaman bagi mereka," kata Pemuda PBB dalam satu kenyataan.

    

Isnin lalu Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (kiri) yang juga MP Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa berkata sudah tiba masanya Adenan melaksanakan perubahan sebenar terhadap sistem pentadbiran negeri selepas mengambil alih tugas sebagai ketua menteri.

    

Pemuda PBB Sarawak juga berkata jika Chong hendak membicarakan tentang urus tadbir baik atau prestasi Adenan dan polisi kerajaan, beliau perlu menggunakan peluang di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

    

"Bukan sahaja Pemuda PBB tetapi masyarakat sudah tahu bahawa kerajaan telah mula membina Rancangan Perumahan Rakyat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang reka bentuknya sentiasa menitikberatkan keselesaan pengguna.

    

"Malahan projek ini akan diteruskan lagi dalam tahun 2014 dan 2015. Projek yang siap akan disalurkan kepada masyarakat melalui dua konsep iaitu jual beli dan sewa," kata kenyataan tersebut.

    

Pemuda PBB berkata kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program pemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar antaranya Program Literasi dan Numerasi bahasa Inggeris, Program OPS-English di 143 buah sekolah seluruh negeri dan dan juga Fulbright English Teaching Assistants.

    

"Ini adalah antara maklumat umum tentang pelan kerajaan, kami pasti dalam DUN atau Parlimen ia ada dijelaskan dengan lebih terperinci lagi," menurut Pemuda PBB.

    

- Bernama

ADS