Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan mengadakan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai agensi pinjaman dan institusi perbankan bagi menyelaras usaha memperkasa usahawan Bumiputera di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata MoU itu akan melibatkan pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan SME Corp di bawah satu gerak kerja bagi menyelaras usaha memperkasa usahawan Bumiputera.

"MoU ini juga penting untuk menurunkan kadar kegagalan dalam kalangan usahawan Bumiputera pada masa ini iaitu daripada 100 syarikat Bumiputera yang didaftarkan hanya 18 hingga 20 berjaya bertahan antara tiga hingga lima tahun.

"Ini adalah satu kegagalan yang tinggi dan perlu dipandang serius terutama terhadap golongan generasi muda yang berminat menceburi bidang keusahawanan, perniagaan dan juga perdagangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan Hari Raya di Pengkalan Balak di Alor Gajah hari ini.

Beliau berkata MoU itu juga bertujuan menyelaras semua program yang dilaksanakan GABEM dengan lebih teratur dan berkesan.

Abdul Rahim berkata melalui jalinan kerjasama dalam MoU itu, generasi muda terutama di institusi pengajian tinggi akan diberi pendedahan terhadap perniagaan untuk usahawan berpotensi tinggi.

Selain itu, katanya kerjasama berkenaan diharap dapat menjayakan program ‘1 Keluarga, 1 Syarikat' dalam kalangan bumiputera yang berkelayakan melalui program Pusat Seranti GABEM yang telah dilaksanakan di seluruh negara.

"Kita telah menjelajah lebih 37 destinasi di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada Bumiputera betapa pentingnya untuk mempertingkatkan hasil produktiviti dan inovasi dalam bidang keusahawanan ini," katanya.

Beliau berkata GABEM merancang untuk memeterai MoU itu pada majlis pelancaran Program Pemerkasaan Bumiputera di Sabah dalam masa terdekat. Program itu akan memberi perhatian khusus terhadap isu dan permasalahan usahawan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

- Bernama

ADS