Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Gaza bimbang tiada lagi tempat selamat
Diterbitkan:  Jul 14, 2014 12:49 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza bimbang tiada lagi tempat selamat untuk mereka berlindung daripada serangan tentera Israel.

Seorang profesor linguistik Khader Khader, 58, berkata beliau dan keluarganya terpaksa melarikan diri pada Jumaat selepas amaran jirannya bagi mengelak serangan Israel, lapor Aljazeera pada semalam.

"Kami lari ke mana sahaja semampu kami, jauh daripada rumah supaya kami tidak cedera atau terkorban," kata Khader, bapa kepada lima orang anak, pada Jumaat yang dipetik agensi berita asing itu.

Khader dilaporkan berkata anaknya mengalami trauma yang cukup mendalam sehingga takut pulang rumah selepas serangan itu sekalipun menganggap kejayaan mereka melarikan diri sebagai "satu keajaiban".

Selepas serangan itu, Khader pulang bagi melihat kerosakan rumah yang dialaminya dan beliau mendapati kemusnahan rumah dan barang milik keluarganya melainkan bingkai tingkap yang masih teguh sementara perabot rosak serta buku, gambar dan surat miliknya hilang.

"Daripada semua ini, tiada apa yang boleh saya gunakan. Kerugian terlalu besar," Khader dipetik sebagai berkata.

Korban terkini 154 orang

Sementara itu, sewaktu rumah Khader dibom, sebuah lagi rumah di Rafah, selatan Gaza, milik keluarga Ghannam turut dibom peluru berpandu Israel tanpa sebarang amaran.

Lima orang terkorban ketika mereka tidur sementara 16 lagi cedera.

Sekurang-kurangnya 154 rakyat Palestin dilapor terbunuh, hampir 1,000 cedera selepas operasi ketenteraan Isreal memasuki hari keenam semalam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sekurang-kurangnya kediaman 70 rakyat Palestin musnah sama sekali, manakala 2,500 unit rumah lagi mengalami kerosakan kecil.

Dalam laporan yang lain, Aljazeera juga melaporkan tentera Israel melakukan serangan udara dan serangan meriam yang memasuki hari ketujuh hari ini diperhebatkan manakala usaha diplomatik bagi mengelak pertumpahan darah dipergiatkan.

Laporan itu turut menyebut, jet menyerang tiga kemudahan latihan sayap tentera Hamas - Briged Qassam - sekitar kawasan pesisiran pantai awal pagi Isnin tetapi tiada kerosakan, kata pasukan perubatan dan saksi.

Tentera itu juga menyerang Deir el-Balah di selatan Gaza dan Jabaliya di sebelah utaranya tetapi jumlah penduduk yang cedera tidak dapat dipastikan.

ADS