Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bantah serangan Israel, jangan tandatangani TPPA'

Pakatan Rakyat mendesak agar Malaysia tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebagai membantah sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel yang menyerang Palestin.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata tanpa kebenaran Amerika Syarikat, tindakan keganasan ke atas rakyat Palestin itu tidak akan dilakukan secara berani sedemikian.

"TPPA ini penting untuk kedua-dua negara. Dengan ini diharap pentadbiran Presiden Barack Obama mendapat isyarat ini dan berhenti menyokong tindakan Israel," katanya.

Rafizi menegaskan demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat di Petaling jaya hari ini.

Serangan terhadap Israel ke atas Gaza, telah mengorban ratusan rakyat Palestine dan dibantah di seluruh dunia.

Menurut Rafizi lagi, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak turut boleh mendesak Obama di peringkat kerajaan untuk melakukan sesuatu terhadap keganasan di Timur Tengah itu.

"Najib mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan pentadbiran Obama. Beliau boleh menggunakan hubungan rapat mereka untuk nyatakan perkara ini," kata beliau.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali berkata Pakatan  juga mendesak agar diadakan satu sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu serangan ke atas Palestin sebagaimana yang telah dibuat pada Januari 2009, demi mendengar suara rakyat tentang isu ini dan memanggil pulang duta besar negara dari Washington.

"Paling jelas, Kerajaan Malaysia juga perlu memanggil semula Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebagai tanda protes  mengenai isu ini," tegas beliau.

Selain isu Gaza, Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat turut membincangkan isu serangan hendap di Pulau Mabul, Sabah semalam yang mengorbankan Korporal Abd Rajah b Jamuan, seorang anggota Pasukan Polis Marin.

Selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Mustafa berkata majlis turut menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji semula keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

ADS