Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa baki pinjaman berjangka saudagar karpet Deepak Jaikishan kepada Bank Rakyat tidak hanya berjumlah RM32 juta sahaja tetapi mencecah sekitar RM215 juta melalui dua lagi perjanjian.

Beliau yang juga MP Pokok Sena mendakwa Deepak gagal untuk menjelaskan ketiga-tiga pinjaman itu yang dibuat melalui syarikat miliknya dan/atau berkaitan dengannya serta melibatkan beliau sendiri.

"Berdasarkan maklumat hasil penyiasatan yang saya lakukan, baki keseluruhan kedua-dua pinjaman tersebut yang perlu dibayar berserta dengan baki pinjaman RM32 juta (jumlah asal RM40 juta) yang dinyatakan di atas adalah sebanyak sekitar RM215 juta,” dakwa Mahfuz.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam suratnya kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak, yang memohon penjelasan berhubung baki pinjaman RM32 juta melibatkan Deepak dan/atau syarikat berkaitan dengannya.

Jika maklumat yang didedahkannya benar, Mahfuz berkata ia menimbulkan lebih banyak persoalan tentang "layanan istimewa" Bank Rakyat kepada ahli perniagaan itu.

"Apakah tindakan selanjutnya yang diambil Bank Rakyat untuk mendapatkan kembali baki pinjaman yang masih tertunggak bagi ketiga-tiga pinjaman ini?" soal Mahfuz sambil berharap bank itu dapat memberi penjelasan segera.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Deepak berhubung dakwaan itu.

Sebelum ini, Mahfuz menuntut Bank Rakyat menjelaskan dakwaan campur tangan politik dalam isu pembayaran balik pinjaman sebanyak RM40 juta oleh Deepak dan alasan bank dan kerajaan berkairan pinjaman diluluskan dan pembayaran balik tanpa faedah.

Sementara Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pula dilapor menegaskan bank itu tidak sesekali memberi pinjaman tanpa faedah kepada "mana-mana individu istimewa" termasuk Deepak.

Dihadiahkan bubur lambuk

Sebelum itu, Mahfuz bersama dua lagi pegawainya hadir ke bangunan Bank Rakyat di Jalan Travers, di ibu negara bagi menyerahkan surat memohon penjelasan berhubung pinjaman Deepak daripada Mustafha.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Kedah menyerahkan surat itu kepada Naib Presiden Kanan Bank Rakyat (Pemasaran dan Kamunikasi) Saliman Zainal di lobi ibu pejabat itu kira-kira jam 2.30 petang ini.

Selepas berbincang beberapa minit, Saliman bermurah hati membalas kunjungan Mahfuz dengan menghadiahkan bubur lambuk kepada pemimpin PAS itu dan petugas media.

"Hari ini rezeki saya," kata yang juga ketua whip MP PAS, sambil senyum dan bersalaman dengan Saliman.

ADS