Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan Shafee: Hakim mahkamah rayuan tarik diri
Diterbitkan:  Jul 14, 2014 8:22 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan yang dikemukakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara yang mengenakan denda terhadapnya kerana salah laku dalam profesionnya.

    

"Saya memikirkannya dengan penuh berhati-hati, saya akan menarik diri," kata Hakim Mah yang diminta oleh Muhammad Shafee supaya menimbang untuk menarik diri daripada mendengar rayuan berdasarkan hubungan rapat beliau dengan Majlis Peguam pada masa lepas.

    

Hakim Mah ialah pengerusi Majlis Peguam dari 2001 hingga 2003 dan merupakan anggota Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara selama 10 tahun.

    

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa satu daripada alasan yang beliau akan bangkitkan dalam rayuannya ialah Majlis Peguam mengamalkan "pendakwaan terpilih" dan Hakim Mah mungkin tidak selesa untuk mendengar rayuan itu.

    

Semasa prosiding, Muhammad Shafee terpaksa menanggalkan jubah peguam di mahkamah terbuka itu kerana mewakili dirinya sendiri.

    

Hakim Mah, yang mendapati Muhammad Shafee memakai jubah peguam, bertanya kepadanya sama ada beliau memakai jubah dan peguam kanan itu menjawab beliau memakainya.

    

Pada mulanya, Muhammad Shafee kelihatan tidak menyedari mengenai perkara itu tetapi dilihat segera menanggalkan jubahnya selepas sedar tentangnya.

    

Peguam yang menghadapi litigasi dalam kesnya sendiri dikehendaki mengikut tradisi perundangan iaitu dengan menanggalkan jubah.

    

Terdahulu, Muhammad Shafee meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan mendengar rayuan itu kepada tarikh lain atas dua sebab.

    

Sebab pertama ialah untuk membolehkan beliau dan Majlis Peguam bertukar-tukar hujahan bertulis masing-masing dan yang kedua ialah atas penarikan diri Hakim Mah.

    

Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusian panel kemudian menangguhkan perbicaraan mendengar rayuan itu ke tarikh lain untuk didengar oleh panel baharu, tanpa Hakim Mah.

    

Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

    

Perkara itu kemudian dirujuk untuk pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan, yang menetapkan 14 Oktober untuk mendengar rayuan.

    

Pada 5 Oktober 2012,  Lembaga Tatatertib mengenakan denda RM5,000 ke atas Muhammad Shafee berikutan aduan oleh presiden Majlis Peguam ketika itu Ragunath Kesavan pada 23 September 2010 bahawa beliau telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 94(3)(k) Akta Profesion Guaman.

    

Aduan itu adalah berdasarkan wawancara Muhammad Shafee dengan akhbar The Star dan dua artikel bertajuk "Counsel rests his case" dan "Keeping within the letter of the law" disiarkan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris itu pada 27 September 2009.

    

Keputusan Lembaga Tatatertib itu mendapati Muhammad Shafee telah memberi publisiti tentang dirinya dan firma guamannya dengan cara menyalahi Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Publisiti) 2001.

    

Pada 10 Januari tahun ini, Muhammad Shafee gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengetepikan keputusan lembaga itu.

    

Majlis Peguam diwakili oleh peguam Arthur Wang.

- Bernama

ADS