Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Diana, 25, memakai jeans berserta sehelai baju berwarna hitam yang menonjolkan bentuk badan keperempuanannya dan ditutup dengan sehelai kardigan ungu, ketika ditemubual sewaktu berbuka puasa berhampiran pejabat Malaysiakini , hujung minggu lalu.

Dengan ketinggian melebihi 1.8 meter, Diana adalah seorang mak nyah yang terbukti berbeza dengan saiznya itu - dia bercakap dengan lembut dan sopan.

Menurutnya, bertentangan dengan kepercayaan orang ramai, golongan mak nyah hari ini memiliki kerjaya masing-masing.

"Kebanyakan kami ada karier masing-masing. Saya, sendiri pun berpendidikan," katanya yang merupakan seorang pemegang diploma dari sebuah institusi pendidikan awam tempatan.

Ia sekali gus menafikan stereotaip orang ramai terhadap golongan itu yang sering kali dianggap mencari makan dengan memberikan khidmat seks.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang menggesa agar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dikenakan tindakan kerana memilih gaya hidup demikian.

Kenyataan ISMA itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan MP Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof yang berpendapat golongan LGBT tidak wajar didiskriminasi di tempat kerja.

RUU lindungi LGBT

Beliau berkata demikian sewaktu menjelaskan draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi yang tidak mengiktiraf orientasi seks pengamal perlakuan LGBT tetapi melindungi hak golongan itu untuk tidak didiskriminasikan dalam aspek seperti bidang pekerjaan.

Mujahid ( kiri ) adalah Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Ditanya lagi jika kenyataan dan sikap yang diambil oleh golongan seperti ISMA akan mengganggu periuk nasi mereka, Diana berkata beliau menganggapnya sebagai satu bentuk "halangan".

"Kami susahlah kalau mereka kata mereka tak mahu iktiraf hak kami (di tempat kerja).

"Saya tak akan kata ia menjejaskan periuk nasi kami tapi saya lihat ia adalah satu bentuk halangan," katanya.

Diana merupakan seorang daripada 17 orang mak nyah yang ditangkap polis dan Jabatan Agama Islam Negeri Islam di Bahau bulan lepas kerana berpakaian seperti wanita pada satu majlis perkahwinan.

Beliau kedengaran hiba apabila menceritakan kembali pengalamannya sewaktu ditahan polis dan disumbat ke dalam penjara selama hampir seminggu.

Rambut menutup dada

Beliau memakai serkup kepala dan rambut palsu kerana rambutnya habis dicukur sewaktu dipenjara.

"Masa mula-mula di lokap saya cuma diberikan seluar sahaja tapi nasib baiklah rambut saya panjang dan tutup tetek saya," katanya.

Sewaktu mula-mula didaftar masuk untuk di lokap juga, beliau tidak faham dengan teguran seorang anggota polis wanita terhadap payudaranya.

"Dia kata 'Hai cantik tetek!' Kenapa perlu kata macam itu?" katanya yang kedengaran kecewa dan terhina dengan kenyataan itu.

Beliau bagaimana pun lega dan positif dengan kenyataan Mujahid dan rang undang-undang yang dirangka MKPN.

Menurutnya, golongan mak nyah akan berhadapan masalah sekiranya mereka terus didiskriminasi kerana cara mereka berpakaian.

"Macam saya yang buat perkhidmatan mekap secara bebas, saya perlu kelihatan OK agar pelanggan percaya kepada saya," katanya.


Wawancara dilakukan oleh Alyaa Azhar dan Ahmad Fadli KC

ADS