Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah membangkitkan soal keselamatan negeri itu yang menurutnya lebih tidak selamat sejak penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom).

“Apa yang terjadi kepada keselamatan Sabah?

"Nampaknya Sabah menjadi lebih tidak selamat sejak penubuhan Esscom dan penyusunan semula terbarunya,” kata ketuanya Datuk Jeffrey Kitingan.

Menurut Jeffrey, insiden terbaru di Pulau Mabul pada Sabtu menjadikannya kebolosan sistem pertahanan kelima dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Ia juga, tambahnya, berlaku hanya seminggu selepas kehadiran anggota militan dikesan di Tawau.

“Adakah kerajaan persekutuan menangani masalah keselamatan Sabah dengan betul? Adakah Esscom memberikan jawapan yang tepat kepada segala permasalahan keselamatan kami?

“Atau adakah terdapat isu-isu sosial yang lebih serius dan asas yang perlu dikenal pasti dan ditangani?” soal Jeffrey yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Mesej penceroboh pada PM

Dalam serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada Sabtu malam lepas, seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aleip, 26, dilarikan.

Jeffrey juga mengaitkan pelbagai insiden di negeri itu dengan masalah pemberian kad pengenalan yang menjadi isu berpanjangan di Sabah.

Beliau juga membangkitkan kenapa serangan di Mabul itu kebetulan berlaku ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Sabah.

“Apakah mesej yang cuba disampaikan penceroboh kepada kerajaan persekutuan dan Sabah? Adakah (kata mereka) kamu tidak dapat mengendalikan perkara sedemikian?

“Adakah kamu tidak setanding dengan kami? Adakah kerana kami berada di mana-mana atau adakah kami adalah ‘raksaksa’ yang kamu ciptakan?” soal Jeffrey tegas.

ADS