Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Perempuan layak jadi MB, tapi bukan perempuan itu'

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata secara peribadi wanita lebih layak menjadi menteri besar tetapi “bukan wanita itu”, merujuk kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya yang juga menteri belia dan sukan tidak ada kesalahan seorang wanita menjawat jawatan tersebut.

"Pada saya secara peribadi wanita lebih layak menjadi perdana menteri atau menteri besar, tapi bukan wanita itu (Wan Azizah).

"Itu terserah kepada Pakatan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno petang ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Peguam Datuk Hafarizam Harun bahawa Wan Azizah tidak sesuai menjadi menteri besar Selangor kerana wanita lazimnya mengalami uzur syarie dan ini bermaksud beliau tidak dapat selalu mengiringi sultan dalam majlis keagamaan.

Katanya, walaupun tiada halangan gender bawah undang-undang tubuh Selangor, terdapat kebimbangan praktikal dalam memilih wanita sebagai menteri besar.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Hafarizam itu, Khairy berkata ia merupakan pandangan peribadi peguam itu dan beliau tidak boleh bercakap bagi pihak peguam itu.

Bagaimanapun, Khairy berkata beliau berpandangan tidak salah wanita memegang kedua-dua jawatan tersebut.

"Alasan yang diberikan dia tak boleh mengiringi sultan dalam majlis keagamaan, itu bukan sahaja kerja menteri besar.

"Kerja menteri besar adalah mentadbir negeri. Itu (mengiringi sultan) hanya sebahagian kecil (tugas MB)," katanya.

Memo Akta Harmoni

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda Umno akan menghantar memorandum kepada Biro Undang-undang dan Perlembagaan berhubung ketetapan pergerakan itu mengenai Akta Keharmonian yang akan menggantikan Akta Hasutan.

Menurutnya dalam memorandum itu, Khairy berkata pihaknya telah meletakkan prinsip tidak boleh dikompromi terhadap perkara dan semangat Perlembagaan Persekutuan khususnya melibatkan kedudukan Bumiputera seperti Perkara 152,153, 181 dan Perkara 3.

Khairy juga berkata pihaknya berharap akta itu dapat menghukum apa sahaja penghinaan pada mana-mana agama, bangsa dan kumpulan etnik di negara ini dan tidak boleh dicabar dasar afirmatif kerajaan termasuk pemerkasaan agenda bumiputera seperti UiTM, Mara dan Amanah Saham Bumiputera.

"Walaupun perkara ini tidak dalam perlembagaan tetapi ia dibuat mengikut semangat perlembagaan. Jadi perkara ini tidak dimasukkan dalam satu perkara (yang dianggap) diskriminasi tetapi ia adalah polisi kerajaan. Perkara itu tak boleh dicabar," katanya.

Menurutnya lagi, prinsip lain yang digariskan adalah berkaitan larangan diskriminasi warga negara berdasarkan agama, ras, jantina, tempat lahir dan keturunan.

Kenakan fi kenderaan S'pura

Dalam sidang media yang sama juga, Khairy berkata sudah sampai masanya pihak kerajaan mengenakan fi kebenaran kepada kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia.

Menurutnya, beliau akan membangkitkan cadangan Pemuda Umno ke kabinet berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menetapkan jumlah yurannya.

Keputusan itu dibuat susulan langkah kerajaan Singapura yang menaikkan fi kebenaran kenderaan memasuki negara itu dari 20 dolar Singapura kepada 35 dolar Singapura.

Jilka langkah mengenakan bayaran itu dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia, boleh menambah hasil negara ini, kata Khairy yang juga MP Rembau.

"Kami cadangkan kerajaan adakan satu sistem kenakan fi dan kuatkuasakan kalau mereka tak bayar saman atau tertunggak, tak dibenarkan masuk Malaysia.

"Kita tak perlu tanya mereka untuk kenakan yuran (fi). Ini negara kita," katanya.

ADS