Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Shah Alam Khalid Samad hari ini memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataannya tentang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) namun menjelaskan yang beliau "keliru" sebab di sebalik kemurkaan baginda.

Jelasnya, cadangannya untuk menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah untuk memelihara nama baik Sultan seandainya sebarang kritikan dilemparkan kepada agensi itu.

"Saya minta maaf dan ampun sekiranya apa-apa yang saya sebut dan tulis sebelum ini memberi gambaran sedemikian rupa terhadap Duli Yang Maha Mulia.

"Niat di sebalik pindaan yang saya cadangkan bukan hendak cabar Sultan, bukan hendak biadab dengan Sultan tetapi saya hendak jaga nama baik Sultan," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Ditanya wartawan sebab beliau menggunakan perkataan 'sekiranya' dan 'jika' dalam permohonan beliau, Khalid menjelaskan, "Kerana saya tidak faham di mana yang saya telah mencabar kuasa baginda".

Menurut Khalid, beliau juga keliru dengan kontroversi tersebut  kerana beliau sendiri pernah menghadiri satu majlis berbuka puasa bersama Sultan di Masjid Negeri atas jemputan pihak istana pada 30 Jun lalu.

Jelasnya, majlis itu berlangsung selepas beliau membuat kenyataan pada 18 Jun menggesa agar kuasa eksekutif MAIS dikaji untuk dihapuskan.

Namun, pada majlis tersebut beliau tidak pula ditegur oleh Sultan tentang kenyataannya itu.

Justeru katanya, cara terbaik untuk menyelesaikan salah faham sekarang adalah dengan beliau sendiri menghadap Sultan untuk memberikan penjelasan.

"Cara terbaik untuk saya selesai masalah ini adalah dengan dibenarkan saya untuk menghadap.

"Saya yakin ini semua hasil salah faham dan maklumat kerana kesetiaan saya kepada Selangor tidak berbelah bahagi," katanya.

Jelas Khalid beliau telah menetap dan menabur bakti di Selangor melebihi 50 tahun dan kedua-dua ibu bapanya juga menetap di Selangor selama ini walaupun mereka tidak dilahirkan di negeri itu.

Lihat Komen
ADS