Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebuah tokong Buddha di Kota Tinggi terpaksa merobohkan satu patung berhala di kawasan rumah ibadat tersebut bagi memenuhi tuntutan oleh Pemuda Umno bahagian.

Pemuda Umno Kota Tinggi sebelum ini dilaporkan menuntut agar berhala setinggi lebih 10 meter itu dirobohkan kerana kedudukannya hanya 50 meter dari sebuah surau.

“Kami sedih kerana terpaksa menurunkan berhala tersebut,” kata pengasas tokong tersebut, Koh Chin Kok, 53.

 

"Kami pergi ke Quanzhou, China tiga kali untuk memesan patung tersebut dan menghantarnya dengan dua kontena ke Kota Tinggi. Ia melibatkan kos RM500, 000," katanya.

Koh bagaimanapun enggan mengulas mengenai pandangan yang dikemukakan oleh Pemuda Umno Kota Tinggi kerana tidak ingin kes itu berlarutan sehingga menjadi isu kaum.

"Kami bercadang untuk mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan untuk membolehkannya dibina semula,” katanya kepada Malaysiakini.

Tokong di Kampung Tembioh itu pada mulanya dibina pada 1947 dan dibina semula pada tahun 2002.

Tokong berkenaan membuat kutipan derma untuk membina patung berhala tersebut awal tahun ini dan pembinaan itu siap pada bulan lalu.

Pemuda Umno bahagian tersebut dilaporkan membuat laporan polis bulan lalu selepas gambar patung berhala berkenaan beredar secara meluas di Internet.

Pegawai Daerah Kota Tinggi dilaporkan berkata, tokong berkenaan diberikan dua notis untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara.

Ia turut mendakwa, tokong berkenaan melanggar Seksyen 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS