Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sidang Dewan Rakyat Khas untuk membahaskan usul mengenai tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 akan diadakan pada Rabu ini mulai 10 pagi, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam kenyataan hari ini, Pandikar Amin berkata beliau selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perkara ini adalah selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah telah menyusul dengan mengeluarkan pemberitahuan panggilan mesyuarat kepada semua ahli-ahli Dewan mulai hari ini," katanya.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk, timur Ukraine, kira-kira 50km daripada sempadan Rusia, semalam.

Pesawat tersebut berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan semalam dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi waktu Malaysia hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS