Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menghantar dua pesawat C-130 Hercules dalam tempoh terdekat bagi membantu operasi Pasukan Siasatan dan Pengurusan Pasca Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata pihaknya sudah menghantar satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 15 anggota tentera dalam operasi tersebut.

"Kita mempunyai persediaan yang secukupnya untuk membantu semampu yang mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama warga Markas Briged Kelapan Infantri di Masjid An-Nur Kem Desa Pahlawan di Kota Bharu, malam tadi.

Delegasi Pasukan Siasatan dan Pengurusan Pasca Tragedi berlepas ke Kiev  8 malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, dipercayai ditembak jatuh.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS