Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Pertahanan Malaysia memberi tumpuan kepada tiga perkara utama dalam menyertai operasi MH17 di Ukraine – memasuki tapak nahas, menjaga keselamatan anggota pasukan serta memastikan serpihan dan tapak nahas tidak diganggu atau dicemari.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peluang memasuki tapak nahas memerlukan pendekatan diplomasi kerana kawasan itu dikawal oleh pihak pemisah.

Beliau berkata Wisma Putra, yang turut menyertai operasi itu, akan membantu dalam perbincangan diplomasi.

Hishammuddin berkata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan ke ibu negara Ukraine, Kiev, untuk berunding dalam usaha memudahkan kerja-kerja pasukan penyiasatan Malaysia.

"Waktu (memasuki tapak nahas) akan bergantung kepada perbincangan Liow di Kiev," katanya kepada pemberita selepas menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menemui waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di sebuah hotel di Putrajaya.

Hishammudin berkata kerjasama antarabangsa juga akan memudahkan usaha pasukan Malaysia memasuki tapak nahas itu.

"Kami tumpu kepada tiga perkara - memasuki tapak nahas dan memastikan pasukan kita ke sana dengan selamat serta memastikan serpihan tidak dicemari. Kami mahu menyiasat insiden ini secara menyeluruh," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar  Datuk Hamzah Zainuddin yang ditemui pemberita selepas pertemuan itu, berkata Malaysia mahu mendapatkan kerjasama kerajaan Ukraine untuk berbincang dengan pihak pemberontak bagi membolehkan pasukan Malaysia memasuki tapak nahas itu dengan selamat.

"Kita meminta kerajaan Ukraine berbincang dengan pihak pemberontak bagi mendapatkan kerjasama sekurang-kurangnya untuk membawa keluar mayat-mayat mangsa," katanya.

Beliau berkata siasatan ke atas insiden itu tidak mudah dilakukan.

"Kita semua marah (dengan insiden ini) tetapi kita perlu bekerja bersama," katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal,  adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, berhampiran dengan sempadan Rusia, pada Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.

Sebelum ini, Najib berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu telah ditembak jatuh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS