Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat diingatkan supaya mengetepikan segala anasir yang boleh menggugat perpaduan dalam menghadapi tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas dan mengorbankan 298 nyawa di Ukraine, Khamis lepas.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah insiden tersebut adalah satu tragedi nasional yang merentasi sempadan agama, kaum dan kepentingan politik.

"Justeru, rakyat hendaklah mengetepikan segala anasir yang mengganggu kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia dalam menghadapi suasana seperti ini," titah baginda.

Syed Faizuddin bertitah demikian pada majlis menzahirkan tandatangan pada kad ucapan takziah tragedi penerbangan MH17 dan penyerahan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Gaza di majlis berbuka puasa di Wisma Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kangar malam tadi.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengurus Besar TNB Perlis, Abdul Aziz Yaacob.

Baginda bertitah agama Islam mengajar umatnya mengucapkan perkataan yang baik dan mampu memberikan ketenangan kepada pihak yang berdukacita dan menerima musibah termasuk semasa menziarahi orang sakit, kematian dan lain-lain.

Pengguna laman sosial juga hendaklah lebih sensitif dengan perasaan pihak lain yang terbabit agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dalam keghairahan mereka hendak menjadi juara berita, titah baginda.

"Tragedi MH17 adalah takdir dan tidak dapat dielakkan selain menjadi isu antarabangsa dengan geopolitik yang agak kompleks. Kita perlu bijaksana dalam menghadapinya.

Sebagai rakyat kita hendaklah bersabar dan berdoa agar para pemimpin berjaya menangani isu ini dengan baik agar hak dan kepentingan rakyat Malaysia khususnya terbela," titah baginda.

Syed Faizuddin berharap agar dalam saat seperti ini tiada mana-mana pihak memburukkan imej negara seperti menuding jari kepada MAS atau pihak lain yang berkewajipan.

Raja Muda Perlis bertitah baginda pernah berkhidmat sebagai Eksekutif di ibu pejabat MAS di Kuala Lumpur dari 1990 hingga 1995 dan kemudian sebagai Pengurus Kawasan di Eropah, iaitu Sepanyol dan kemudiannya di Switzerland dari 1995 hingga 2002.

Banyak rakan baginda yang masih berkhidmat dengan MAS dan diharap mereka terus komited, bersatu padu dengan semangat kekeluargaan dan setiakawan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengharungi cabaran getir ini, titah baginda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS